Friday, March 23, 2012

Allahyarham Mohd Razif dianugerah Tokoh Takaful 2012

BEKAS Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Allahyarham Datuk Mohd Razif Abd Kadir dianugerahkan sebagai Tokoh Takaful 2012.  Penganugerahan itu yang dibuat pada majlis Malam Anugerah Takaful 2012 anjuran Persatuan Takaful Malaysia semalam adalah bagi mengiktiraf usaha dan jasa Allahyarham terhadap industri kewangan negara. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AllahyarhamMohdRazifdianugerahTokohTakaful2012/Article
Published: March 23, 2012

Mohd Razif Abd Kadir
Mohd Razif Abd Kadir 

Allahyarham yang meninggal dunia Ogos tahun lalu menyertai Bank Negara pada 1976 dan memegang beberapa jawatan kanan sepanjang kerjayanya, antaranya Ketua Perwakilan di Pejabat Perwakilan di London, Pengarah Jabatan Pengawalan Bank dan Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) dari 1999.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan Pengerusi pertama Jawatankuasa Teknikal Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) serta menjadi ahli lembaga Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Lembaga Pengarah BNM.

Pengerusi MTA, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman dalam ucapannya pada majlis itu berkata, industri takaful negara kekal kukuh dalam menghadapi cabaran persekitaran pasaran semasa yang tidak menentu tanpa menjejaskan teras syariah yang membentuk dasar asas takaful.

Katanya, komitmen yang jitu penggiat industri takaful di negara ini dengan memperkenalkan produk baru dan usaha yang tidak putus meneroka pasaran baru menyumbang kepada pengukuhan dan ketahanan industri takaful negara dalam berdepan cabaran pasaran yang tidak menentu.

“Sebagai salah satu komponen industri kewangan Islam, industri takaful telah mampu menyumbang ke arah meletakkan Malaysia dan Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan Islam global seperti yang dirancang dalam Pelan Tranformasi Ekonomi Negara,” katanya.
Hadir pada majlis itu Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Pada majlis berkenaan turut diadakan sambutan ulang tahun ke-10 MTA yang diraikan secara simbolik menerusi pelancaran logo baru persatuan berkenaan.

No comments: