Monday, February 27, 2012

PEDA bincang kaedah penjualan kereta lebih murah

PERSATUAN Pengedar-Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA) merancang untuk mengusahakan semakan eksais dan cukai atau membincangkan kaedah lain bagi penjualan kereta yang lebih murah supaya lebih ramai mampu memiliki kereta, manakala mereka yang mampu pula tidak dibebankan dengan pinjaman yang tinggi. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PEDAbincangkaedahpenjualankeretalebihmurah/Article
Published: February 27, 2012

Persatuan itu merancang menemui pihak dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menangani penyusutan kelulusan pinjaman dan jualan kereta yang, katanya, berlaku ekoran pelaksanaan garis panduan amalan pembiayaan yang bertanggungjawab oleh Bank Negara Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 Januari.

Satu sesi dialog diadakan Jumaat lalu antara Bank Negara Malaysia dan pegawai kanan Proton, Perodua, Persatuan Automotif Malaysia, PEDA, DRB-HICOM dan Persatuan Penjual Kereta Perodua untuk menangani masalah kelembapan jualan sektor automotif.


PEDA dalam satu kenyataannya berkata, Bank Negara percaya isu itu timbul disebabkan pelaksanaan garis panduan itu oleh bank.

Ia juga menegaskan beberapa isu dan resolusi yang dikemukakan pada dialog itu.

Satu resolusi meminta bank mengeluarkan satu garis panduan seragam untuk mendidik orang ramai tentang kriteria kelulusan seragam dan syarat dokumentasi seragam bagi pemprosesan pinjaman kenderaan.

PEDA juga berkata, meskipun ia bersetuju dengan objektif dan hasrat Garis Panduan itu yang menggalakkan pemberian pinjaman berdasarkan kemampuan, namun, katanya kriteria kemampuan diberikan tafsiran yang keterlaluan oleh bank.

Katanya, dengan kereta yang lebih murah melalui eksais dan cukai yang lebih rendah atau cara lain, lebih ramai rakyat Malaysia mampu membeli kereta tanpa menjejaskan ekosistem automotif, sekali gus mengekalkan pertumbuhan industri di samping mengurangkan hutang isi rumah.

Persatuan itu berkata, industri automotif menyumbang dengan banyaknya kepada pendapatan negara melalui duti eksais dan cukai, kerana hampir 90 peratus daripada keseluruhan pengeluaran industri negara adalah bagi pasaran domestik.

“Penyusutan besar jualan kereta kami akan juga menjejaskan peluang pekerjaan secara keseluruhan,” katanya.

Meskipun kadar kelulusan kekal stabil pada 54 peratus bagi pembiayaan kenderaan pada Januari, persatuan itu berkata sebilangan besar permohonan pinjaman langsung tidak diterima untuk diproses yang menyebabkan kelulusan susut kepada kadar yang mencemaskan sebanyak hanya 30 peratus.

No comments: