KOTA KINABALU 29 April - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang terjejas akibat pelaksanaan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Yang Baik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak awal tahun ini meminta bank pusat itu dan institusi perbankan turun padang untuk melihat sendiri kesan dan impak akibat penguatkuasaan garis panduan tersebut.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm
Published: May 02, 2012
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan pihak-pihak terbabit membuat penilaian sendiri berhubung isu yang diperjuangkan oleh Perodua.
''Kita bukan syok sendiri (dalam memperjuangkan isu ini) tetapi mereka boleh lihat berapa banyak stok kereta kami terutama Viva di pasaran terutama di Sabah, Sarawak, pantai timur dan utara Semenanjung," katanya ketika ditemui di sini.
Tegasnya, negeri-negeri itu memang pasaran utama Viva dengan mengambil kira status pembeli dan peniaga bergaji kecil serta mempunyai masalah untuk mengemukakan dokumen.
''Pengangkutan awam di pasaran-pasaran tersebut juga terhad, justeru mereka memerlukan pengangkutan sendiri.
''BNM dan bank-bank perlu lihat sendiri masalah ini," tambah beliau.
Menurut beliau, selaku syarikat yang mengeluarkan kereta nasional, Perodua tidak pernah menentang pelaksanaan garis panduan yang dilaksanakan oleh BNM kerana memahami tujuannya.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa pelaksanaan garis panduan itu menyebabkan proses permohonan mengambil masa sehingga dua hingga tiga bulan kerana faktor masa itu menyukarkan pelanggan.
''Tempoh memproses permohonan yang panjang menyukarkan kami dan pelanggan.
''Tidak bolehkah perkara ini diberi kelonggaran, meskipun arahan garis panduan itu dipatuhi?," ujar beliau.
Aminar mengakui tidak faham mengapa pelaksanaan memproses permohonan terlalu ketat sedangkan nisbah tidak berbayar bagi kereta-kereta Perodua hanyalah satu peratus sahaja.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Perodua telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mencari penyelesaian berhubung pelaksanaan garis panduan tersebut.
''Kami memang ada buat rayuan, meminta simpati kerajaan," katanya tanpa mengulas lanjut.
Tegas beliau, apa yang dilaku dan disuarakan oleh Perodua adalah selaras dengan peranan dan tanggungjawabnya selaku syarikat kereta nasional.
''Apabila permintaan susut, pengeluaran juga menurun. Apa jadi dengan ekosistem perniagaan Perodua yang membabitkan 60,000 hingga 70,000 orang. Ia membabitkan masa depan vendor, wakil jualan, rakan niaga.
''Kalau jualan kami susut, cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan juga menurun. Adakah ia baik untuk ekonomi dan kerajaan?.
''Itu belum lagi mengambil kira pelaburan dan sumbangan kami kepada industri, ekonomi dan negara," katanya.
No comments:
Post a Comment