Monday, May 21, 2012

Masalah pinjaman kereta, silap siapa?

TIDAK tahu apa, mana dan siapa yang silap!. Meskipun sudah hampir lima bulan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Yang Baik dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pelaksanaan terhadap peraturan baru itu terus dikritik.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm
Published: May 21, 2012



Kalau sebelum ini kita hanya mendengar kelantangan suara Datuk Aminar Rashid Salleh, Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. dan Presiden Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda), Armin Baniaz Pahamin.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman juga sudah mula berdehem.

Suara mereka bersatu - mengkritik pelaksanaan garis panduan yang didakwa telah menjejaskan sektor automotif negara.

Nampaknya isu ini semakin hangat walaupun BNM menegaskan bahawa pelaksanaan peraturan baru itu sama sekali bukan untuk menjejaskan industri automotif. Sebaliknya untuk melindungi pengguna yang tidak berkemampuan daripada dibebani hutang.

Perjumpaan di antara BNM dengan persatuan-persatuan automotif dan bank sudah pun dilakukan ketika isu ini mula dibangkitkan Januari lalu.

Namun, walaupun bulan Mei semakin sampai ke penghujungnya isu ini masih belum selesai malah semakin hangat diperkatakan. Difahamkan, bukan pihak-pihak pengeluar kereta sahaja yang tidak berpuas hati, malah pengguna juga mula merungut. Merungut kerana proses kelulusan yang rumit.

Seorang peneraju industri automotif turut mempersoalkan arahan yang dikeluarkan oleh BNM kepada institusi-institusi kewangan berhubung peraturan baru itu.

Jelasnya, seandainya satu atau dua bank yang mengamalkan prosedur proses kelulusan seperti hari ini, sudah tentu 'arahan' tersebut daripada bank berkenaan. Tetapi, kalau semua bank mempunyai prosedur yang sama, siapakah yang perlu dipersalahkan?.

Mungkin andaian peneraju tersebut ada kebenarannya, sebab itu, Aminar dalam kenyataannya baru-baru ini, sanggup mencabar BNM dan institusi perbankan tempatan turun padang.

Turun padang bukan sahaja melihat dan menyelami kesukaran orang ramai untuk memiliki sebuah kereta nasional yang harganya jauh lebih murah tetapi meninjau juga longgokan kereta-kereta baru yang tidak terjual di stor-stor.

Sekiranya masalah ini berlarutan, siapakah yang harus dipersalahkan, adakah BNM kerana peraturan garis panduannya atau institusi perbankan yang mematuhi pelaksanaan garis panduan itu?.

Dalam buka Nota Kepada Perdana Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ada menyebut bahawa industri pembuatan merupakan satu sektor penting yang perlu digerakkan untuk memastikan ekonomi terus berkembang. Alasannya, sektor itu memiliki rantaian nilai yang cukup besar dalam sumbangan kepada ekonomi negara.

Ia bukan sahaja membabitkan kakitangan, tetapi juga sekumpulan besar vendor, peniaga kereta, peniaga alat ganti, peniaga bahan api dan sebagainya.

Sudah tentu Aminar, Armin dan kini Zainuddin begitu bimbang akan pelaksanaan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Yang Baik yang dilihat tidak mesra kepada industri automotif, meskipun BNM mempertahankan peraturan itu.

Kelmarin, Aminar sekali lagi meminta institusi perbankan meringankan prosedur pemprosesan kelulusan dan Zainuddin pula merayu syarat peraturan garis panduan itu dilonggarkan.

Namun, sehingga hari ini, mahupun BNM dan institusi perbankan atau pun persatuan yang dinaungi oleh bank-bank tempatan belum memberi sebarang reaksi.

Seorang pemerhati pasaran berkata, sesuatu perlu dilakukan oleh BNM dan institusi perbankan supaya garis panduan yang dilakukan dengan niat yang murni itu - mengurangkan hutang isi rumah - tidak disalahertikan.

BNM, selaku 'arkitek' kepada garis panduan ini tidak boleh hanya mengambil sikap diam seribu bahasa kerana isu ini adalah isu nasional dan membabitkan kepentingan banyak pihak.

''BNM perlu berbuat sesuatu kerana sudah tentu tidak wajar masalah semudah ini pun akan diselesaikan melalui campur tangan Perdana Menteri,'' kata pemerhati pasaran itu.

No comments: