Friday, June 8, 2012

Unjuran pertumbuhan ekonomi kekal 5 peratus

BANK Negara Malaysia mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini antara empat hingga lima peratus di sebalik penguncupan dalam angka eksport. Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan ekonomi negara tahun ini akan terus didorong pelaburan dan perbelanjaan domestik yang disokong oleh kadar faedah yang rendah.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Unjuranpertumbuhanekonomikekal5peratus/Article
Published: Jun 08, 2012

Prestasi didorong pelaburan, perbelanjaan domestik

“Kadar faedah kita adalah sangat menyokong pertumbuhan. Bank Negara sedar risiko daripada krisis kewangan di zon euro kepada ekonomi global dan pertumbuhan sederhana seluruh dunia sudah pun diambil kira ke dalam (penentuan) kadar faedah tempatan.

“(Ekonomi) Malaysia bergantung kepada pertumbuhan domestik,” katanya kepada media selepas membentangkan laporan tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau ditanya demikian selepas negara melaporkan penguncupan eksport sebanyak 0.1 peratus pada April kepada RM57.74 bilion, penurunan bulan kedua berturut-turut apabila permintaan khususnya dari pasaran tradisi utama di Eropah semakin perlahan ketika krisis hutang di zon euro terus menyelubungi persekitaran antarabangsa.

Pada bulan berkenaan, eksport ke negara Kesatuan Eropah (EU) jatuh 14 peratus, namun permintaan kukuh dari negara serantau membantu menyerap penurunannya.

Bulan lalu Bank Negara melaporkan ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, yang kebanyakannya disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

Zeti berkata, Bank Negara menjangkakan kegiatan ekonomi domestik akan meraih momentum lebih kukuh pada separuh kedua 2012, yang kebanyakannya dipacu oleh perbelanjaan swasta.

“Perbelanjaan swasta kekal kukuh, terdapat peluang untuk menaikkan modal dalam pasaran bon, manakala bank pula terus mencatat prestasi baik dengan pinjaman berkembang 12 peratus dan kini terdapat lebihan akaun semasa,” katanya.

Tegasnya, beliau menjangkakan ekonomi serantau adalah lebih berdaya tahan untuk menyerap tekanan daripada zon euro jika krisis hutang semasa menjadi bertambah buruk.

“Namun, kami akan tetap kekal berhati-hati kerana jika keadaan lebih drastik berlaku, maka ekonomi global secara keseluruhannya akan terjejas.

“Perkara ini bukan baru kerana pada 2008 dan 2009, kita melihat ekonomi negara Asia lebih berdaya tahan daripada krisis global. Kebanyakan negara Asia mencatatkan pemulihan lebih pantas daripada kemelesetan itu,” katanya.

Di samping itu, katanya ekonomi Malaysia umumnya pula adalah baik disokong oleh faktor seperti kadar pengangguran kecil, kadar inflasi rendah, baki akaun yang kukuh, rizab mencukupi, sistem kewangan yang maju serta akses berterusan kepada pembiayaan.

No comments: