Thursday, July 4, 2013

Peraturan bakal diperketatkan - BNM

PUTRAJAYA 3 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) sedang melihat kemungkinan untuk mengetatkan pengeluaran kad kredit dan pinjaman peribadi bagi memastikan hutang isi rumah dapat dikawal dengan baik bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sektor perbankan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130704/ek_01/Peraturan-bakal-diperketatkan
Published: July 04, 2013


Ahmad Husni Hanadzlah (tengah) bersama Timbalan Menteri Kewangan, 
Datuk Ahmad Maslan (kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr 
Mohd Irwan Serigar Abdullah menunjukkan tanda bagus pada perkhidmatan 
kenderaan e-Perolehan Kementerian Kewangan pada majlis Hari Terbuka 
Kementerian Kewangan di Putrajaya

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, hutang isi rumah Malaysia yang mencecah kira-kira 83 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Ahmad Husni berkata, hutang isi rumah yang majoritinya terdiri daripada pinjaman perumahan dan kenderaan masih terkawal kerana dua jenis pinjaman tersebut disokong oleh aset yang membawa kecairan tinggi kepada sektor perbankan.

Beliau bagaimanapun berkata, kategori pinjaman yang perlu diberi perhatian dalam soal hutang isi rumah ialah hutang kad kredit dan pinjaman peribadi yang mana BNM sedang meneliti cara mengetatkan kelulusan permohonan pinjaman.

''Kita beri tumpuan kepada kad kredit dan pinjaman peribadi yang turut melibatkan kakitangan sektor awam, kerajaan sudah meminta Bank Negara melihat perkara ini terutama daripada segi pinjaman peribadi.

''Kita perlu melihat apakah kedudukannya dan bagaimana cara untuk memperketatkan proses (kelulusan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Hari terbuka yang diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5.30 petang itu disertai agensi dan bahagian di bawah Kementerian Kewangan termasuk Bahagian Pinjaman Perumahan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata, keadaan hutang kad kredit dan pinjaman peribadi belum mencapai tahap membimbangkan kerana pinjaman tidak berbayar (NPL) yang dicatatkan masih dianggap rendah.

''Walaubagaimanapun dua bentuk pinjaman ini perlu diteliti kerana kita mahu memastikan gaji rakyat yang boleh digunakan tidak sampai tahap terlalu rendah," katanya.

Beliau berkata, BNM pada tahun lalu telah mengetatkan syarat pinjaman yang mana bank komersial diminta menyemak pendapatan bersih dan bukannya pendapatan kasar peminjam sebelum meluluskan pinjaman.

''Pendapatan kasar pengguna mungkin tinggi tetapi pendapatan bersihnya adalah lebih rendah," katanya

No comments: