Saturday, July 13, 2013

Tambah pembekal - Kementerian Kewangan

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan akan mencadangkan kepada kerajaan dalam perundingan belanjawannya mengenai kadar penawaran harga rumah mampu milik dan faktor yang boleh menyumbang peningkatan harga rumah setiap tahun.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tambahpembekal/Article/index_html
Published: July 13, 2013

Ini sejajar dengan laporan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai peningkatan hutang isi rumah secara purata sebanyak 12 peratus sejak lima tahun lalu dan pembiayaan perumahan adalah salah satu penyumbangnya. Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, kebanyakan pemaju menggunakan alasan peningkatan harga rumah yang berlaku disebabkan harga bahan binaan yang meningkat setiap tahun. Oleh itu pihaknya sudah mengenal pasti beberapa perkara perlu dikaji semula dalam mengatasi peningkatan sumber bahan binaan antaranya kawalan import bahan mentah seperti keluli dan simen.

Beliau berkata, dengan mewujudkan lebih banyak pengedar untuk bahan mentah berkenaan ia dapat mewujudkan kadar persaingan harga yang baik untuk menurunkan harga jualan bahan pembinaan kepada pihak pemaju.

“Kita juga perlu memastikan sumber bahan binaan ini sentiasa mencukupi bagi mengelakkan peniaga bahan mentah binaan meningkatkan harga jualan kepada pihak pemaju,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro di sini, semalam. Ahmad Maslan berkata, kewujudan beberapa pihak spekulator yang juga pembeli rumah secara pukal adalah sebahagian daripada punca peningkatan jualan harga rumah di negara ini.

“Kita tahu memang ada golongan pembeli rumah secara pukal dan menjualnya kepada orang ramai dengan harga lebih tinggi berbanding harga asal. Ini menjadikan harga rumah di negara ini dijual lebih mahal dan memberi kesan kepada peningkatan hutang isi rumah.

“Oleh itu, perkara ini akan dibentangkan oleh pihak saya kepada kerajaan bagi memastikan faktor bahan binaan dan pihak spekulator tidak sewenang-wenangnya meningkatkan harga rumah di negara ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menyemak semula kadar harga rumah mampu milik, beliau berkata, perkara itu adalah salah satu perkara yang akan dibincangkan menerusi kementeriannya.

No comments: