Wednesday, July 10, 2013

Unit Pembiayaan Pengguna Tidak Kena Kesan Peraturan Baharu BNM: Bank Islam

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd melihat peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini tidak memberi kesan negatif terhadap segmen pembiayaan penggunanya.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sokongperaturanbaru/Article/index_html
Published: July 10, 2013

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130710/ek_02/Syarat-BNM-tidak-jejas-Bank-Islam
Published: July 10, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=962065
Published: July 10, 2013


Khairul Kamarudin (dua dari kanan) dan Stuart Tomlinson (dua dari kiri) 
bersama pengurusan kanan kedua-dua syarikat itu melancarkan kad visa 
platinum di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur.

Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Khairul Kamarudin berkata malah Bank Islam merasa optimis untuk mencapai pertumbuhan antara 10 peratus dan 20 peratus di dalam segmen itu tahun ini.

"Kami menyambut baik peraturan baharu BNM itu. Kami tidak menjangka menyaksikan kemerosotan pencapaian kami, jika ia berlaku, ia hanya marginal dan bukan signifikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kad kredit visa platinum baharu bank itu di sini Selasa.

Dalam usaha mengurangkan hutang isi rumah, BNM mengumumkan satu peraturan baharu pada Jumaat lepas bagi mengekang pemberian tempoh pembiayaan maksimum bagi kegunaan peribadi dan maksimum 35 tahun bagi pembiayaan yang diberikan bagi pembelian hartanah penduduk tempatan dan bukan penduduk negara ini.

Bank pusat itu juga melarang penawaran produk pembiayaan peribadi yang diberi secara prakelulusan.

Langkah itu, yang berkuat kuasa serta merta, melengkapi langkah awal yang diperkenalkan sejak 2010.

Khairul berkata 95 peratus daripada peminjam pinjaman perumahan bank itu meminjam bagi tempoh kurang 35 tahun manakala segmen pinjaman peribadinya hanya menawarkan tempoh maksimum 15 tahun berbanding bank lain, yang menawarkan tempoh pinjaman peribadi lebih 20 tahun.

Beliau turut menjelaskan bahawa bank perlu menggunakan kemudahan sedia ada dan mengukuhkan rangkaian pengedaran masing-masing bagi memastikan pertumbuhan lestari di dalam segmen pembiayaan pengguna masing-masing.

Sementara itu, Bank Islam menjangka menarik antara 25,000 dan 30,000 pelanggan baharu bagi kad kredit-i visa platinum yang baharu dilancarkan menjelang akhir tahun.

Khairul berkata bank itu telah melihat permintaan beralih kepada segmen kad premium daripada kad pertengahan kepada yang lebih rendah sejak awal tahun ini.

"Bagi kad perdana ini, kami menyaksikan peningkatan. Dahulu ia berada pada nisbah 70:30, iaitu 70 bagi pendapatan pertengahan kepada rendah manakala 30 bagi kad perdana. Kini, kebelakangan ini trendnya menjurus kepada pendapatan lebih tinggi.

"Kini tiba masanya bagi kami mengikuti arus itu," katanya.

Bank Islam, sehingga ini, mempunyai 2,000 pemegang kad platinum.

-- BERNAMA

No comments: