MALAYSIA mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku kedua 2012 berbanding 4.3 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu yang dipacu permintaan dalam negeri lebih kukuh.
Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pacuandomestik/Article/index_html
Published: August 16, 2012
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, permintaan domestik yang lebih kukuh disokong pertumbuhan dalam perbelanjaan kedua-dua sektor awam dan swasta, manakala jumlah eksport bersih direkodkan sederhana berikutan eksport yang lemah dan import lebih tinggi.
“Dari segi penawaran, kebanyakan sektor ekonomi utama terus berkembang yang diterajui sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
“Ini disokong aktiviti domestik dari sektor perkhidmatan iaitu komunikasi, hartanah dan perkhidmatan perniagaan dan subsektor kewangan insurans,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, aktiviti berkenaan menyumbang kepada pembentukan modal tetap kasar kepada 26.1 peratus berbanding hanya 16.1 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.
“Penggunaan swasta mencatatkan pertumbuhan kukuh 8.8 peratus berikutan keadaan pasaran kerja yang teguh dan sentimen pengguna yang bertambah baik.
“Selain itu, inisiatif kerajaan seperti bantuan kewangan untuk isi rumah berpendapatan rendah dan peneroka Felda menjadi penyumbang kepada kenaikan perbelanjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Zeti berkata, tawaran awam awal (IPO) bagi penyenaraian Felda Global Ventures Bhd (FGV) menjadi antara penyumbang kepada peningkatan dana daripada pasaran ekuiti.
“IPO bagi penyenaraian FGV yang juga kedua terbesar di dunia menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan dana iaitu sebanyak RM12.1 bilion berbanding RM1.3 bilion pada suku sebelumnya.
“Manakala, dana bersih yang diperoleh daripada pasaran modal berjumlah RM27.6 bilion pada suku kedua 2012 kebanyakannya dicatatkan daripada sektor swasta,” katanya.
Zeti berkata, ekonomi global terus pulih pada suku kedua tahun ini, namun pada kadar sederhana dan akan berdepan risiko yang semakin meningkat berpunca daripada perkembangan dalam beberapa ekonomi utama.
“Ketidakpastian mengenai dasar membelenggu krisis hutang kerajaan Eropah dan isu fiskal di Amerika Syarikat dijangka memberi kesan ke atas sentimen pasaran dan prospek pertumbuhan,” katanya.
No comments:
Post a Comment