BERASASKAN statistik Bank Negara Malaysia (BNM), Malaysia mempunyai pasaran sukuk terbesar di dunia buat masa ini. Memandangkan sukuk berjumlah AS$58 bilion (RM185.6 bilion) berasal dari negara kita, ini bermakna 69 peratus daripada seluruh terbitan pasaran global bagi 2011 berasal dari sini.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120811/ek_04/Malaysia-punyai-pasaran-sukuk-terbesar-empat-jenis-diterbitkan
Published: August 12, 2012
Di negara kita, sukuk dikawal selia di bawah bidang kuasa luas Suruhanjaya Sekuriti (SC). Majlis Penasihat Syariah (SAC) bagi SC, yang bertanggungjawab terhadap semua hal-ehwal syariah berkaitan terbitan pasaran modal Islam, mengawal asas hukum Syariah bagi struktur sukuk.
Dari sudut praktikal, sukuk boleh ditakrifkan sebagai dokumen yang membuktikan kewajipan kewangan (hutang atau bukan hutang) bagi pengeluarnya yang timbul daripada urus niaga asas berdasarkan prinsip syariah. Struktur sukuk yang diterbitkan setakat ini terutamanya berpandukan kepada dua prinsip utama: Kontrak Pertukaran (Uqud al Muawadat) atau Kontrak Penyertaan (Uqud al-Isytirak).
Kontrak Pertukaran (Uqud al Muawadat). Dua prinsip yang diguna pakai secara umum ialah (a) Murabaha/Istisna' atau (b) Ijarah, yang masing-masing memerlukan pembelian terdahulu dan jualan selanjutnya (untuk (a)) atau pajakan balik (untuk (b)) aset yang dikenal pasti kepada pelanggan atas dasar harga jualan tertunda (untuk (a)) atau pembayaran sewa pajak masa depan (untuk (b)).
Kontrak Penyertaan (Uqud al-Isytirak). Pada amnya, struktur ini adalah berasaskan pelaburan perkongsian pendapatan di bawah 'Sijil Amanah' atau 'Sekuriti Penyertaan' yang memberikan pelabur kepentingan atau pegangan yang sekadar dan tidak dibahagikan dalam aset asas dan aliran tunai dengan risiko pendedahan yang berkaitan.
Empat jenis sukuk utama telah diterbitkan di Malaysia setakat ini: Sukuk Murabahah, Sukuk Ijarah, Sukuk Musyarakah dan Sukuk Mudharabah.
Sukuk Murabahah dan Istisna' ialah sijil yang menunjukkan keberhutangan pengeluar kepada pelabur, yang timbul daripada mana-mana kontrak pertukaran yang dinyatakan di atas di antara mereka.
Sukuk Ijarah ialah sijil yang menjadi bukti pemilikan pelabur bagi aset yang dipajak dan hak kepada pendapatan yang dijana daripada aset tersebut.
Sukuk Musyarakah ialah sijil yang menjadi bukti penyertaan pro rata tidak terbahagi pelabur atas dasar untung dan rugi dalam kegiatan komersial asas dengan salah satu pihak dilantik sebagai rakan kongsi urusan untuk menguruskan kegiatan.
Sukuk Mudharabah ialah sijil yang menjadi bukti penyertaan pelabur atas dasar perkongsian untung dalam kegiatan komersial asas. Pengurusan dilakukan oleh mudharib (usahawan).
No comments:
Post a Comment