KUALA LUMPUR 7 Jun - Pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal sekitar empat hingga lima peratus pada tahun ini, walaupun eksport mengalami penyusutan berbanding tahun lalu. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (gambar) berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan kekal memandangkan ekonomi domestik kukuh, permintaan perbelanjaan tinggi, aktiviti pelaburan dan pelaburan swasta yang memberangsangkan.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Published: Jun 09, 2012
''Kita masih yakin pertumbuhan ekonomi akan berada sekitar empat hingga lima peratus.
''Pada masa yang sama, kita perlu melihat kepada apa yang bakal berlaku di Eropah, terutama dalam tempoh beberapa hari dan minggu akan datang kedudukan di rantau itu akan lebih jelas.
''Sekiranya, khabar positif diterima, pertumbuhan adalah sekitar apa yang dijangka. Walaupun eksport negara mengalami penurunan, kami telah mengambil kira faktor tersebut ketika membuat unjuran,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan laporan tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) 2011 di sini hari ini.
Tambah Zeti, penyusutan eksport hanya berlaku baru-baru ini, BNM menjangkakan angka sederhana itu lebih awal.
''Oleh itu, faktor tersebut telah diambil kira. Tetapi apa yang menggalakkan adalah pelaburan sektor swasta dengan pelaburan yang turut dilakukan kerajaan.
''Kami percaya ini akan menyumbang bukan hanya kepada pertumbuhan semasa tetapi juga pertumbuhan dalam beberapa tahun akan datang,'' jelasnya.
Ditanya mengenai keadaan ekonomi Eropah yang semakin buruk bakal menjejaskan Asia, Zeti percaya rantau ini mampu bangun dan meneruskan potensi pertumbuhan.
''Sekiranya keadaan bertambah buruk di Eropah, ekonomi global akan turut terkesan. Tetapi, rantau Asia mampu pulih dengan pantas seperti apa yang berlaku pada 2008 dan 2009.
''Ini kerana, kita mempunyai akses berterusan kepada pembiayaan, rizab dan kita mempunyai sistem kewangan maju yang dapat menangani sebarang isu,'' katanya.
No comments:
Post a Comment