Friday, July 6, 2012

OPR kekal 3 peratus

Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), iaitu penanda aras bagi penentuan kadar faedah pinjaman asas (BLR) bank tempatan, pada kadar tiga peratus.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/OPRkekal3peratus/Article
Published: July 06, 2012

Bank Negara ramal inflasi sederhana hingga akhir tahun

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu pada mesyuaratnya semalam berdasarkan kadar inflasi dalam negara yang diunjurkan kekal sederhana dan masih wujudnya risiko kelembapan ekonomi global.

Bank Negara dalam kenyataannya mengumumkan keputusan itu menjelaskan, kadar pemulihan global telah menjadi sederhana sejak beberapa bulan lalu dengan perangkaan terkini menunjukkan kegiatan ekonomi lebih perlahan serta prospek pertumbuhan lebih mencabar di beberapa rantau di seluruh dunia.

Tambahnya, walaupun tekanan di pasaran kewangan antarabangsa telah reda susulan pengumuman dasar baru-baru ini untuk menangani krisis di Eropah, beberapa isu dasar yang penting masih belum diselesaikan dan menyebabkan pasaran kewangan terus tidak menentu.

“Kegiatan ekonomi di beberapa negara maju terus menerima kesan daripada pengukuhan fiskal berterusan, pengantara kewangan yang terjejas dan keadaan pasaran pekerja yang lemah,” katanya.

Bank pusat itu berkata, bagi ekonomi Malaysia, perangkaan terkini dan tinjauan terhadap keadaan perniagaan menunjukkan penggunaan dan pelaburan yang kekal berdaya tahan.

Pada masa akan datang, katanya permintaan dalam negara akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi.

Pendapatan stabil

“Perbelanjaan isi rumah terus disokong persekitaran pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan yang stabil, manakala aktiviti pelaburan pula dipacu industri berorientasikan dalam negera, sektor minyak dan gas serta kemajuan berterusan pembinaan infrastruktur,” katanya.

Bank Negara berkata, inflasi di negara ini dijangka kekal sederhana sehingga akhir tahun ini.

“Dengan wujudnya kapasiti berlebihan dalam ekonomi negara, permintaan dalam negara yang kukuh dijangka tidak akan mewujudkan keadaan inflasi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya inflasi berdepan risiko untuk meningkat jika terdapat gangguan terhadap bekalan global yang mengakibatkan harga dunia lebih tinggi bagi komoditi, terutama tenaga.

No comments: