Wednesday, June 13, 2012

Kadar faedah: BNM pantau perkembangan di Eropah

BANK Negara Malaysia akan memantau rapi perkembangan yang berlaku dalam ekonomi global, khususnya di Eropah sebelum membuat keputusan berhubung kadar faedah tempatan dalam mesyuarat dasar monetari akan datangnya bulan depan.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BankNegarabelummuktamadkadarfaedahtempatan/Article
Published: Jun 13, 2012

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Published: Jun 13, 2012

Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, menegaskan bagaimanapun berdasarkan keadaan semasa di dalam negara, permintaan domestik masih sangat kukuh dan berdaya tahan meskipun sektor perdagangan terjejas kerana perkembangan yang berlaku di Eropah.

“Kita masih perlu menyeimbangkan (keadaan) kerana permintaan domestik yang terdiri daripada perbelanjaan dan pelaburan masih mantap, manakala pertumbuhan pinjaman adalah sangat kukuh.

“Faktor sedemikian akan diambil kira (sebelum menetapkan kadar faedah tempatan),” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama dan melancarkan Forum Pendidikan Pengarah Institusi Pendidikan (FIDE) di Kuala Lumpur, semalam.

Zeti berkata, jika perkembangan di Eropah, khususnya kemungkinan Greece untuk keluar daripada pakatan Kesatuan Eropah (EU) boleh menyebabkan situasi global menjadi bertambah buruk, maka keputusan berhubung kadar faedah tempatan akan mengambil kira sepenuhnya situasi permintaan domestik.

Beliau berkata, beberapa langkah memperkukuhkan permintaan domestik meletakkannya pada aliran kukuh, dengan perbelanjaan berkembang sekitar tujuh peratus manakala pelaburan meningkat kira-kira 10 peratus setakat tahun ini.

“Dengan perkembangan itu, kami berasakan ia sangat positif untuk ekonomi secara keseluruhannya menuju ke depan dengan sasaran pertumbuhan antara empat ke lima peratus, melainkan pertumbuhan eksport terus terjejas oleh perkembangan yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Bulan lalu, Bank Negara mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras kadar pinjaman asas (BLR) bank tempatan pada kadar tiga peratus, di tengah-tengah meningkatnya risiko kepada pertumbuhan ekonomi global berikutan ketidakpastian terhadap krisis hutang di zon euro.

Ia mengekalkan kadar faedah itu pada paras semasa sejak 5 Mei tahun lalu apabila ia menaikkan OPR kepada tiga peratus daripada 2.75 peratus sebelum itu.

Bank pusat itu akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi menetapkan dasar monetari semasanya pada 5 Julai ini.

Perkembangan rapuh ekonomi dunia ketika ini menyebabkan beberapa bank pusat membuat keputusan menurunkan kadar faedah masing-masing dalam dua minggu ini termasuk China, Australia dan Vietnam

No comments: