Friday, June 8, 2012

LIBFC terus positif

LEMBAGA Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), badan yang bertanggungjawab untuk mengawal selia bagi menyelaraskan usaha memperkenal dan membangunkan Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (LIBFC) mengumumkan pertumbuhan berterusan dalam kegiatan perniagaan utama di pusat itu di sebalik keadaan ekonomi dunia yang mencabar.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LIBFCteruspositif/Article/index_html
Published: Jun 08, 2012

Pengerusinya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, kecemerlangan prestasi itu disokong beberapa aspek antaranya lokasi strategik dan prasarana kewangan yang baik, aktiviti perniagaan serta sektor perkhidmatan kewangan.

“LIBFC terus mencatatkan pertumbuhan positif dalam sektor perbankan, insurans dan insurans semula, kaptif dan pajakan, sekali gus meneruskan momentum pertumbuhan pada 2010,” katanya ketika mengumumkan pelancaran laporan tahunan Labuan FSA di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, sektor perbankan mencatatkan jumlah pinjaman sebanyak RM76.57 bilion pada tahun kewangan 2011, meningkat 24.1 peratus berbanding RM63 bilion tahun sebelumnya.

“Jumlah premium bagi sektor insurans turut mencatat peningkatan sebanyak 33 peratus kepada RM5 bilion berbanding RM3.8 bilion pada 2010, manakala jumlah aset bertambah kepada RM11.3 bilion, meningkat 16.1 peratus berbanding RM9.8 bilion tahun sebelumnya.

“Aset pajakan pula meningkat sebanyak 10.4 peratus kepada RM87 bilion daripada RM79 bilion pada 2010. Bagi aset perbankan Islam pula, jumlahnya bertambah kepada RM4.7 bilion daripada RM4.1 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, jumlah pembiayaan oleh perbankan Islam menokok sebanyak 56.8 peratus kepada RM932 juta.

“Sumbangan takaful dan takaful semula meningkat 54.6 peratus kepada RM1.45 bilion dan instrumen Islam tersenarai meningkat 17.8 peratus kepada RM27.2 bilion,” katanya.

Zeti berkata, sektor kewangan dan perniagaan turut mencatatkan 59 syarikat pajakan baru meliputi tujuh syarikat amanah dan 35 yayasan, tahun lalu. Selain itu, katanya, sebanyak 651 syarikat baru diperbadankan dalam LIBFC tahun lalu, peningkatan 8.1 peratus berbanding 2010 sekali gus menjadikan jumlah syarikat beroperasi di pusat berkenaan mencecah 8,655 semuanya.

Mengenai unjuran masa depan, beliau yang juga Gabenor Bank Negara Malaysia berkata, pihak berkuasa bercadang merealisasikan potensi strategik LIBFC bagi menyediakan keperluan perniagaan domestik dan serantau seiring dengan pelan tindakan sektor kewangan.

No comments: