Tuesday, July 23, 2013

Ringgit dijangka turun naik tempoh terdekat

Ringgit dijangkakan berdepan keadaan turun naik yang tinggi dalam tempoh terdekat ini berikutan keadaan tidak menentu dalam sistem kewangan antarabangsa, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ringgitdijangkaturunnaiktempohterdekat/Article
Published: July 23, 2013

Ringgit dijangka turun naik tempoh terdekat

Kesan tidak menentu sistem kewangan antarabangsa

“Ada banyak ketidaktentuan dalam sistem kewangan antarabangsa. Akan berlaku kegiatan mengurangkan risiko kadar tukaran. Akibatnya, kita akan berdepan keadaan turun naik mata wang yang tinggi.

“Ada kalanya kita akan menyaksikan aliran masuk yang besar dan pada masa yang lain pula berlaku keadaan sebaliknya. Ini akan merangsang lagi situasi yang tidak menentu dalam semua pasaran kewangan,” katanya ke-pada media selepas melancarkan edisi kedua buku bertajuk ‘Cabaran Peraturan Baru Kewangan Islam’ terbitan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (ICEIF), semalam.

Ringgit yang ditutup pada RM3.179 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, mengalami kejatuhan nilai kira-kira tujuh peratus sejak Mei lalu, berpunca daripada beberapa siri pengumuman Rizab Persekutuan AS yang mencetuskan kedudukan tidak menentu dalam pasaran kewangan.

Mata wang tempatan itu mengalami penurunan besar bulan lalu apabila nilai dolar AS terus mengukuh ditambah pula berlaku peningkatan aliran keluar.

Kukuh kapasiti kewangan

Kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS pada awal Mei adalah RM3.04.
Zeti berkata, apa yang dialami oleh ringgit itu turut berlaku kepada mata wang lain dan apa yang lebih penting ialah meskipun ia berlaku disebabkan reaksi serta-merta terhadap perkembangan yang sedang berlaku dalam pasaran, risiko kadar tukaran itu akhirnya mampu diselaraskan dengan asas pasaran.

“Kadar turun naik yang tinggi adalah di luar kawalan kita kerana ia berlaku dalam sistem kewangan antarabangsa. Apa yang boleh kita lakukan ialah mengukuhkan kapasiti serta keupayaan untuk menyerapnya,” katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia telah mengambil beberapa langkah untuk membolehkan sistem kewangan negara berupaya menyerap tekanan turun naik nilai mata wang yang tinggi.

Langkah itu antara lain, katanya, ialah membina daya tahan perantara kewangan serta membangunkan pasaran kewangan yang mantap.

“Dengan melaksanakan langkah sedemikian, kita mampu menyerap peningkatan turun naik nilai mata wang ini dengan lebih baik. Langkah ini bukan baru dilakukan, malah telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Zeti berkata, pemantauan, pengawasan serta langkah membentuk kerjasama dengan negara lain di rantau ini juga mustahak dalam menangani keadaan sedemikian.

“Usaha seperti itu menyumbang kepada kestabilan mata wang yang lebih berkesan di rantau ini,” katanya.

Mengenai sama ada terdapat kemungkinan kadar faedah akan diturunkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara yang akan datang, Zeti berkata kadarnya pada ini masih lagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Bentuk kerjasama

Beliau menegaskan, permintaan domestik masih lagi kukuh dan stabil dengan berkembang pada kadar enam hingga lapan peratus.

“Terdapat banyak cara untuk memastikan permintaan domestik kekal mampan dan inilah yang ditumpukan oleh dasar (bank pusat). Kami akan melihat kepada risiko pertumbuhan. Buat masa ini, ia adalah seimbang,” katanya.

Sementara itu, Zeti berkata, Bank Negara menyasarkan paras hutang isi rumah yang lebih mampan bagi mengelakkan keadaan yang tidak stabil berlaku dalam pasaran kewangan tempatan.

“Bank Negara sedang menangani isu peningkatan hutang kerana apabila berlaku paras hutang yang berlebihan, ia akan menyebabkan keadaan yang tidak stabil bukan saja kepada sistem kewangan, malah atas sebab ekonomi yang lain.

“Apa yang penting, kami mahu memastikan isi rumah, perusahaan kecil dan sederhana, malah syarikat korporat besar yang mempunyai keupayaan kredit terus mendapat akses terhadap pembiayaan,”

No comments: