Monday, July 16, 2012

Kaedah baru cagaran pembiayaan peribadi

PETALING JAYA 15 Julai - Kepesatan industri telekomunikasi negara kini telah membuatkan alat peranti seperti telefon bimbit atau perkhidmatan perhubungan dianggap sebagai barangan keperluan ataupun komoditi.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Published: July 16, 2012

Hal itu sebenarnya telah membuka idea kepada syarikat IDOTTV Sdn. Bhd. (IDOTTV) untuk mengendalikan perkhidmatan pembiayaan peribadi berlandaskan syariah menggunakan kredit masa berbual sebagai cagaran bagi meluluskan pembiayaan, dinamakan sebagai As-Sidq.

Pengarah Produk IDOTTV, Halim M. Dzin berkata, kredit masa berbual yang dianggap sebagai komoditi itu akan dicagarkan semasa proses permohonan pembiayaan antara peminjam, pihak bank, syarikat telekomunikasi serta pembeli tersedia.

Jelasnya, kaedah tersebut telah bermula sejak 2009 dan mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia sebagai salah satu bentuk kewangan berlandaskan konsep Islam, kerana menepati piawaian yang memerlukan komoditi - dalam kes ini adalah kredit masa berbual untuk pembiayaan.

"Harga kredit masa berbual yang stabil serta tidak begitu berisiko berdasarkan permintaan dan penawaran dalam pasaran antarabangsa, maka ia adalah 'komoditi' terbaik untuk didagangkan khususnya di Malaysia yang masih memiliki bilangan pengguna prabayar yang ramai.

"Ia berasaskan konsep Tawarruq yang mana perbankan Islam membeli aset contohnya komoditi, kemudian akan dijual kepada pihak tertentu bagi mendapatkan sumber kewangan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebagai contoh di bawah sistem As-Sidq, seorang peminjam memohon dan bersetuju mendapatkan pembiayaan peribadi bernilai RM50,000 daripada bank terlibat. Kemudian bank akan membeli kredit masa berbual bernilai RM50,000 daripada syarikat telekomunikasi.

Seterusnya, setelah memperoleh kredit masa berbual bernilai RM50,000, pihak bank kemudiannya akan menjualnya kepada pembeli tersedia. Di dalam sistem ini, syarikat induk IDOTTV, Kumpulan Sedania akan membeli kesemua kredit masa berbual itu untuk dijual di pasaran.

Dana yang diperoleh oleh bank itu kemudiannya akan diberikan kepada pemohon mengikut syarat pembiayaan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Katanya, setakat ini, terdapat tiga perbankan yang terlibat bagi menyediakan pembiayaan tersebut iaitu Affin Islamic Bank Bhd., RHB Islamic dan Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) serta syarikat telekomunikasi prabayar tempatan, menerusi pihak ketiga.

Halim menjelaskan, antara keunikan lain sistem ini, adalah turut menyediakan akad bagi mengesahkan pembiayaan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Kaedah SMS ini diperakui memandangkan ia juga boleh dijadikan bukti di dalam kes penceraian.

IDOTTV bagaimanapun ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa bank Islam tempatan untuk mengadakan kerjasama bagi meluaskan lagi perkhidmatan pembiayaan As-Sidq.

Kata beliau lagi, sistem As-Sidq hanya melibatkan pembiayaan peribadi dan had pembiyaan tidak melebihi RM200,000.

No comments: