Friday, July 13, 2012

Sistem kewangan Malaysia dapat manfaat besar daripada pelaburan Jepun, kata Zeti

GEORGETOWN - Sistem kewangan Malaysia mendapat manfaat besar daripada pelaburan Jepun menerusi pindahan kepakaran, pengetahuan, teknologi dan hubungan antara ekonomi yang diperkukuh, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/sistem-kewangan-malaysia-dapat-manfaat-besar-daripada-pelaburan-jepun-kata-zeti-1.66226
Published: July 13, 2012

Beliau berkata Malaysia menyambut baik penyertaan berterusan institusi kewangan Jepun dalam sektor kewangan domestik dan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan.

Pada bulan lepas, terdapat empat bank perdagangan, empat syarikat insurans dan sebuah syarikat penginsurans semula dan sebuah pengendali takaful usaha sama dari Jepun beroperasi di Malaysia, katanya semasa merasmikan pembukaan cawangan Pulau Pinang Bank of Tokyo Mitsubishi (M) Bhd.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Gabenor Donald Joshua Jaganathan.

Zeti berkata keputusan Bank of Tokyo Mitsubishi untuk membuka cawangan terbaharunya di Pulau Pinang bukan sahaja disokong oleh kehadiran ramai pelanggan Jepun tetapi juga aktiviti pelaburan yang sedang dilaksanakan di wilayah utara Malaysia itu.

Beliau berkata meskipun pusat kewangan Malaysia telah beralih ke Kuala Lumpur, kepentingan Pulau Pinang sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara masih lagi ketara.

Pembukaan cawangan itu menunjukkan pengembangan berterusan sistem kewangan Malaysia dan disokong oleh ekonomi yang mantap dari segi fundamental yang terus mencatatkan prestasi baik semasa tempoh-tempoh mencabar ini, katanya.

Zeti berkata Asia terus menjadi pusat pertumbuhan penting dalam ekonomi global, katanya, sambil menambah walaupun pertumbuhan mungkin menyederhana, ia masih kekal pada paras yang masih dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

Ini dipacu oleh permintaan domestik dan peningkatan hubungan antara ekonomi sedang pesat membangun di rantau ini, kata Zeti.

Beliau berkata keanjalan ekonomi dan sistem kewangan yang kukuh juga menyokong aliran ini.

"Di Malaysia, meskipun permintaan dari luar yang perlahan telah menjejaskan pertumbuhan kita, permintaan domestik kukuh dan hubungan ekonomi rapat di rantau ini terus menyokong pertumbuhan mampan," katanya. - Bernama

No comments: