Friday, July 13, 2012

Permintaan domestik stabilkan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Julai - Permintaan domestik yang kekal kukuh dan peningkatan hubungan di kalangan ekonomi-ekonomi baru muncul di rantau ini membantu ekonomi Malaysia kekal stabil.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm
Published: July 13, 2012

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, fleksibiliti ekonomi dan sistem kewangan kukuh juga telah menyokong trend tersebut.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, beberapa negara membangun berdepan cabaran untuk meningkatkan pertumbuhan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta menangani kelemahan beberapa fundamental dalam ekonomi dan sistem kewangan.

"Meskipun ekonomi-ekonomi baru muncul terjejas, tetapi kebanyakan negara-negara itu masih dalam laluan pertumbuhan positif," katanya dalam ucapannya semasa perasmian Bank of Tokyo Mitsubishi (M) Bhd. di Pulau Pinang di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Penolong Gabenor, Donald Joshua Jaganathan.

Zeti berkata, sistem kewangan Malaysia mempunyai penyertaan pemilikan institusi perbankan sejak lama dulu dan jumlah bank-bank asing yang beroperasi di Pulau Pinang sudah berusia lebih 100 tahun.

Ia disokong oleh peranan utama Pulau Pinang sebagai pelabuhan kemasukan utama bagi eksport komoditi iaitu timah dan getah.

Jelas Zeti Akhtar, biarpun pusat kewangan Malaysia telah berpindah ke Kuala Lumpur, sumbangan Pulau Pinang sebagai penyumbang ekonomi bagi Malaysia masih lagi signifikan.

"Kebanyakan institusi kewangan memiliki cawangan besar di Pulau Pinang.

"Pembukaan Bank of Tokyo Mitsubishi bukan sahaja menggambarkan peluasan sistem kewangan di negara ini, tetapi turut dipacu oleh kestabilan fundamental ekonomi dalam keadaan yang mencabar ini.

"Keputusan Bank of Tokyo Mitsubishi membuka cawangan baru di sini bukan sekadar disokong oleh pelanggan-pelanggannya tetapi aktiviti pelaburan yang berterusan di wilayah utara," ujar beliau.

Sehingga Jun tahun ini, masing-masing terdapat empat buah komersial bank dan syarikat insurans, sebuah syarikat reinsurans dan satu pengendali takaful dari Jepun.

Zeti berkata, melalui penyertaan itu, sistem kewangan Malaysia mendapat faedah daripada pelaburan Jepun menerusi kepakaran, pengetahuan dan teknologi serta peluasan antara hubungan ekonomi.

No comments: