Friday, July 6, 2012

Bank Negara wajar selesai pertikaian H&I Niaga

SHAH ALAM - Bank Negara wajar bertindak dengan ikhlas dalam menyelesaikan pertikaian dengan H&I Niaga Sdn Bhd, bekas kontraktor pembinaan Pusat Sumber Perkhidmatan Kewangan miliknya, meskipun syarikat itu telah diperintah agar ditutup oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, demikian kata Ahli Parlimen, Tony Pua hari ini.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bank-negara-wajar-selesai-pertikaian-h-i-niaga-1.63936
Published: July 06, 2012

"Jika tidak Bank Negara akan dilihat sebagai institusi tidak beretika, yang cuba melepaskan diri daripada kesilapan-kesilapan sendiri,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Mohammad Ariff Md Yusoff membenarkan permohonan Affin Bank untuk menutup H&I Niaga kerana gagal menjelaskan bayaran RM12.8 juta.

Pua berkata, kes saman RM131.9 juta ke atas Bank Negara kekal dan kini terserah kepada pemilik syarikat itu sama ada mahu meneruskan saman itu ke atas institusi kewangan ataupun sebaliknya.


Dalam satu kenyataan kelmarin, Bank Negara berkata, ia akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap H&I Niaga.

Pada 20 Jun, H & I Niaga mengemukakan tuntutan saman bernilai RM131.9 juta terhadap bank pusat itu sebagai ganti rugi dan bayaran yang belum lunas bagi pembinaan bangunan itu.

Kontraktor Kelas A Bumiputera yang telah diberikan kontrak bernilai RM320.3 juta pada September 2005 itu mendakwa kontraknya telah ditamatkan secara salah pada 2010 setelah kerja pembinaan itu lebih daripada 90 peratus siap.

Bank Negara berkata, H&I Niaga pada awalnya telah merujuk pertikaian kontrak tersebut untuk penimbangtaraan, namun pada hari pertama sebutan kes itu di mahkamah, H&I Niaga telah menarik diri daripada proses penimbangtaraan ini.

Bank Negara berkata, ia mempunyai proses tadbir urus yang mantap dalam semua perkara yang dilaksanakan oleh bank.

Mengulas lanjut, Pua berkata, kenyataan itu bersifat tidak berasas kerana Bank Negara enggan bekerjasama dalam proses arbitrari dan bertindak untuk melengah proses bagi membolehkannya H&I Niaga tiada masa untuk menyelesaikan kes sebelum diisytiharkan sebagai ‘gulung tikar’.

Katanya, notis arbitrari telah dihantar kepada Bank Negara pada 13 September lalu tetapi pertemuan awal bagi arbitrari hanya diadakan pada 13 Januari lalu.

“Sebagai tambahan hanya pada 28 Mac, peguam-peguam Bank Negara memohon kos sekuriti, yang mana telah menyebabkan ketidakupayaan bagi H&I Niaga untuk bayar, (selain) telah memanjangkan keseluruhan proses arbitrari,” kata Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

“Pada 14 Jun, menjadi jelas kepada H&I Niaga bahawa Bank Negara tiada niat untuk menyelesaikan isu menerusi proses arbitrari dan menggunakan pelbagai cara untuk melengah-lengah proses (arbitrari),” kata beliau lagi.

Pua menambah, sekiranya Bank Negara jujur, sudah pasti ia tidak akan mengambil masa yang lama dan memohon mengenakan kos arbitrari.

“Sebenarnya, antara tempoh H&I Niaga telah ditamatkan kontrak pada 27 April 2010 dan keputusan untuk melalui arbitrari pada September 2011, syarikat itu telah cuba melalui pelbagai kaedah untuk mencari penyelesaian dengan Bank Negara tetapi tidak menemui hasil kerana Bank Negara tidak berhasrat untuk membayar satu sen pun,” dakwa beliau sambil menambah, tindakan bank pusat itu menamatkan kontraktor Bumiputera ini di peringkat akhir pembinaan selesai adalah sesuatu yang tidak logik.

Katanya lagi, tindakan itu bukan sahaja meletakkan H&I Niaga dalam keadaan sukar, malah telah memberi kesan ke atas subkontraktor.

“Keseluruhannya, H&I masih belum menjelaskan RM23.1 juta kepada subkontraktornya,” kata beliau lagi.

No comments: