Monday, February 27, 2012

BNM: Salah faham garis panduan di peringkat bank

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) berkata, masalah kelulusan pinjaman sewa beli kereta yang sebelum ini didakwa disebabkan oleh pelaksanaan Garisan Panduan Amalan Pembiayaan Yang Baik oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sebenarnya disebabkan oleh institusi-institusi perbankan tempatan sendiri.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm
Published: February 27, 2012

Pengerusi Peda, Armin Baniaz berkata, perkara itu merupakan kesimpulan yang diberitahu oleh BNM yang mengadakan dialog bersama 11 ahli Persatuan Automotif Malaysia termasuk Peda, Jumaat lalu.

Beliau berkata, dalam dialog selama dua jam itu, BNM memberitahu, pihaknya telah menerima kelulusan pinjaman kereta sebanyak 54 peratus untuk bulan Januari tetapi kelulusan yang dimaklumkan oleh bank pula hanya 30 peratus.

''BNM berkata, salah faham terhadap arahan itu mungkin berlaku di ibu pejabat bank atau ibu pejabat bank dengan cawangan-cawangan bank.

''Bagaimanapun, kami telah diberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil untuk melancarkan pelaksanaan terhadap garis panduan itu.," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Utusan Malaysia difahamkan BNM akan menemui semua institusi kewangan pada Isnin ini.

Malah, katanya, BNM telah bersetuju untuk memastikan standard dan prosedur kelulusan bagi sewa beli kereta dikembalikan dalam tempoh 48 jam serta dokumen-dokumen tertentu diberikan dalam proses permohonan untuk membeli kereta.

Armin berkata, apa pun alasan yang diberikan, Peda dan Persatuan Automotif Malaysia berharap isu ini dapat diselesaikan serta-merta, demi kelangsungan operasi syarikat-syarikat automotif negara.

Jika tidak, Peda dan Persatuan Automotif Malaysia khuatir bilik-bilik pameran kereta di Malaysia akan terus 'sunyi' tanpa kunjungan pembeli.

Dalam pada itu, Peda berkata, pihaknya juga telah mengemukakan kebimbangan kepada BNM tentang banyak polisi penting seperti Pemindaan Akta Sewa Beli dan juga garis panduan baharu boleh menjejaskan kemampanan industri automotif.

Masalah itu dakwanya berlaku apabila agensi-agensi kerajaan tidak berkomunikasi secara dua hala dan tidak berkomunikasi dalam menentukan hala tuju industri automotif.

''Industri automotif menyumbang besar kepada pendapatan negara melalui duti eksais dan cukai yang dibayar dan sebarang kejatuhan jualan kereta akan menjejaskan pendapatan kerajaan dan pekerjaan secara keseluruhan," ujarnya.
Berlandaskan objektif pinjaman berdasarkan kepada kemampuan, Peda merancang untuk berjumpa dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kewangan untuk mengemukakan rayuan semakan eksais kenderaan dan cukai atau cara-cara lain untuk mendapatkan harga kereta yang lebih murah supaya lebih ramai rakyat Malaysia mampu membeli kereta.

No comments: