Thursday, February 9, 2012

Kaji peraturan Bank Negara (Perodua)

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Biarpun menyedari pentingnya pelaksanaan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Yang Bertanggungjawab oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikuatkuasakan pada awal tahun ini, ramai mulai bimbang tentang kesannya kepada operasi perniagaan masing-masing.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm
Published: February 09, 2012

Beberapa industri termasuk perbankan, insurans, takaful dan hartanah juga sudah mula mengeluh kerana pelaksanaan peraturan baharu oleh bank pusat itu sudah mula menampakkan kesan kepada seluruh rantaian perniagaan.

Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd., Datuk Aminar Rashid Salleh, turut menyatakan jumlah tempahan kereta merosot sehingga 20 peratus pada Januari lalu ekoran pelaksanaan garis panduan itu.

Sektor perniagaan menerima tamparan yang hebat kerana individu semakin sukar mendapat pinjaman. Di bawah Garis Panduan baharu, kelulusan permohonan pinjaman yang dikemukakan oleh individu berdasarkan gaji bersih pemohon.

Ini bermakna, pihak perbankan yang menerima permohonan pinjaman individu mengambil kira potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), cukai dan tanggungan hutang-hutang lain sebelum meluluskan pinjaman yang dipohon.

Dengan lain perkataan, peraturan yang ditetapkan oleh garis panduan tersebut mengecilkan peluang pemohon terutama mereka yang memiliki banyak potongan.

Sememangnya tindakan BNM itu memanglah baik, selaras dengan matlamatnya untuk mengurangkan kadar hutang isi rumah Malaysia untuk mengelak berlakunya atau timbulnya masalah seperti di Greece, meskipun keadaan di negara ini masih terkawal.

Bagaimanapun, apabila semakin banyak rungutan yang kedengaran ekoran penguatkuasaan peraturan itu, timbul persoalan kenapa BNM perlu mewujudkan peraturan yang cukup ketat, sedangkan kesannya dikhuatiri menjejaskan ekonomi negara. Apakah yang akan berlaku kepada industri-industri penjana ekonomi sekiranya garis panduan itu diteruskan?.

Pelaksanaan garis panduan itu dikhuatiri menjejaskan industri yang banyak berkait kepada permintaan daripada pemohon individu.

Sekiranya semakin kurang pinjaman yang boleh dipohon, sudah tentu prestasi institusi perbankan tempatan merudum, begitu juga jika permohonan membeli kereta sukar mendapat kelulusan bank, ia boleh menjejaskan industri automotif negara.

Kalau industri automotif terjejas, apakah jadi dengan nasib-nasib vendor dan rantaian bekalan yang lain dalam industri terbabit.

Seperti mana Aminar, seorang tokoh hartanah turut khuatir pelaksanaan garis panduan itu akan menjejaskan jualan hartanah negara.

Begitu juga dengan industri insurans dan takaful kerana kebanyakan pelanggan tempatan memilih untuk melakukan potongan gaji bagi melanggan produk-produk perlindungan itu.

Itu belum dikira berapa banyak pelabur yang memotong gaji untuk tujuan melabur dalam pelbagai unit amanah.

Biarpun langkah yang diambil oleh BNM itu baik tetapi nampaknya pendekatan yang diambil terlalu drastik sehingga memberi kesan yang cukup pantas kepada rantaian industri yang menjana ekonomi negara.

Ramai berpendapat garis panduan itu boleh dilaksanakan tetapi secara berperingkat-peringkat, contohnya mengenakan peratusan tertentu dalam mengambil kira keupayaan individu meminjam.

Atau BNM boleh mengenakan peraturan tersebut dengan mengasingkan peraturan pinjaman keperluan hidup dengan pinjaman gaya hidup. Bukankah itu lebih baik?.

Pada masa sama, BNM juga perlu mengawal tindakan institusi perbankan dan kewangan yang memperkenalkan pelbagai produk-produk yang tidak sepatutnya semata-mata untuk memancing supaya orang ramai membuat hutang.

Adalah lebih baik kawalan terhadap permohonan kad kredit diberi tumpuan khusus berbanding dengan pinjaman-pinjaman untuk keperluan hidup.

Justeru, BNM wajar melihat semula keberkesanan dan impak pelaksanaan garis panduan itu semula untuk memastikan matlamat dan objektif sebenar dapat dicapai.

No comments: