Thursday, February 9, 2012

Kekal syarat pinjaman asal (Cuepacs)

GARIS Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk kelayakan permohonan pinjaman perlu berdasarkan pendapatan bersih dijangka memberi kesan tidak langsung kepada penjawat awam.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kekalsyaratpinjamanasal/Article/index_html
Published: February 09, 2012

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, garis panduan berkenaan dijangka memberi kesan baik kepada penjawat awam untuk jangka masa panjang, namun dalam masa sama ia boleh memberi tekanan sekiranya ada di kalangan mereka yang benar-benar memerlukan pinjaman.

“Kita tahu langkah BNM adalah untuk mendidik orang ramai daripada membuat pinjaman melebihi kemampuan kewangan mereka, namun ia seharusnya diperhalusi dan sepatutnya diguna pakai hanya untuk segelintir kumpulan saja.

“Ini kerana ada di kalangan penjawat awam yang menerima gaji bersih sekitar RM200 hingga RM400 saja dan berapa pula pinjaman yang mereka boleh dapat daripada jumlah berkenaan sedangkan ia perlu untuk menampung perbelanjaan lain,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro.

Menurutnya, garis panduan berkenaan sesuai diguna pakai untuk individu yang mempunyai pendapatan tinggi sebaliknya ia tidak sesuai untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Mana-mana individu pasti akan berhutang dan ia bergantung kepada usaha mereka untuk melunaskan hutang berkenaan walaupun terpaksa mencari pendapatan sampingan bagi menampung hutang itu.

“Pada pendapat saya, pihak bank seharusnya kekal dengan kelayakan pinjaman mengikut gaji kasar kerana ia lebih relevan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Omar berkata, sekiranya syarat kelayakan itu tidak dikaji semula, pihaknya bimbang lebih banyak individu akan beralih kepada pemberi pinjaman tidak berlesen yang menawarkan pinjaman lebih mudah tanpa syarat ketat.

“Kita bimbang lebih ramai akan memilih pinjaman tidak berlesen yang menawarkan pelbagai pinjaman mudah hanya kerana mahu membeli kenderaan untuk ke tempat kerja kerana gagal membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen,” katanya.

BNM mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 Januari lalu, pihaknya menetapkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang menetapkan kelayakan permohonan pinjaman bank perlu berdasarkan pendapatan bersih dan bukan lagi pendapatan kasar pemohon.

Dalam usaha mengurangkan hutang isi rumah di negara ini yang masih terkawal, BNM juga mengehadkan tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan hanya selama sembilan tahun berbanding 11 tahun sebelum ini.

Di bawah garis panduan tanggungjawab pembiayaan baharu itu, permohonan pemohon juga dinilai berdasarkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai serta mengambil kira semua tanggungan hutang semasa.

Bagaimanapun, permohonan itu hanya membabitkan segmen runcit seperti pembiayaan kediaman, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pinjaman peribadi termasuk kemudahan overdraf serta pembiayaan bagi pembelian sekuriti kecuali pembiayaan margin saham.

No comments: