KUALA LUMPUR 7 Feb. - Persatuan Pengedar-Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) mendakwa penjualan kereta baharu Proton terjejas teruk sejak pelaksanaan peraturan baharu garis panduan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dikuatkuasakan bulan lalu.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_03.htm
Published: February 08, 2012
Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, pada bulan Januari sahaja sebanyak 80 peratus permohonan telah ditolak mengakibatkan ramai pengedar kerugian dan jurujual terjejas akibat tidak menerima komisen.
Menurut beliau, permohonan pinjaman telah ditolak terus oleh pihak bank tanpa pemerosesan pinjaman selepas mendapati pendapatan bersih pemohon kurang daripada jumlah yang ditetapkan.
Bagi pembeli kereta baharu Proton, pendapatan bersih minimum adalah RM800.
Malah, pihak bank juga mengenakan syarat penjamin untuk pemohon graduan baru bekerja walaupun, gaji mereka melebihi RM2,000 sebulan.
Beliau berkata, sebelum garis panduan itu dikuatkuasakan, permohonan untuk pinjaman sewa beli kereta telah pun diperketatkan dengan kelulusan pinjaman yang terhad kepada peminjam yang lulus dari segi pemarkahan kredit yang ditetapkan oleh institusi perbankan.
Pemarkahan kredit itu mengambil kira pembayaran lampau kredit peminjam, pendedahan pinjaman sedia ada peminjam, dan pemeriksaan kredit CCRIS dan CTOS.
Disebabkan oleh pemarkahan kredit yang tinggi, ramai pembeli sebelum ini juga gagal mendapatkan pinjaman sewa beli.
''Dengan adanya garis panduan baharu ini, saya menjangka lebih banyak lagi permohonan yang akan ditolak atau gagal.
''Sebelum ini, walaupun pendapatan bersih peminjam adalah sedikit (kurang dari garis panduan), tetapi jika rekod pembayaran lampau peminjam adalah baik, peminjam masih boleh mendapatkan pinjaman sewa beli.
''Tetapi kini, jika pendapatan bersih pemohon adalah kurang dari jumlah yang dibenarkan, permohonan itu akan terus ditolak walaupun peminjam mempunyai rekod pembayaran yang baik dan sempurna," katanya kepada Utusan Malaysia.
Tegas beliau, garis panduan itu didakwa akan menjejaskan keseluruhan perniagaan dan industri automotif negara.
Katanya, industri automotif bukan sahaja kerugian dari kegagalan pembeli mendapatkan kelulusan pinjaman dari bank, tetapi tempoh kelulusan untuk permohonan pinjaman juga telah merosot.
Beliau mendakwa, institusi perbankan mengambil masa lebih daripada lima hari bekerja untuk meluluskan atau menolak permohonan pinjaman dan tempoh yang diambil itu turut menyumbang kepada kerugian sektor automotif dari segi pusingan masa.
''Industri automotif adalah sektor yang sungguh rapuh pada tahun ini kerana dua perubahan kepada polisi kerajaan yang amat penting bagi industri automotif. Pertama, pemindaan Akta Sewa Beli dan keduanya garis panduan oleh BNM.
''Ekosistem industri automotif telah pun terjejas akibat daripada pemindaan kepada Akta Sewa Beli yang berkuat kuasa tahun lepas. Dengan penguatkuasaan garis panduan jualan automotif akan lebih merosot," ujar beliau.
BNM sepatutnya membuat satu garis panduan yang menggalakkan persaingan di antara bank untuk mendorong institusi kewangan supaya menjadi lebih kompetitif dalam memastikan pelanggan diberi layanan sama rata dalam penjualan, pemasaran dan pengurusan kemudahan pembiayaan dan bukan dengan cara membendung dan memperketatkan kelulusan pinjaman bank yang akan merugikan rakyat dan ekonomi.
Dijangka lebih 4,000 penasihat jualan Proton Edar dan lebih 15,000 jurujual kereta baharu dan terpakai dalam ekosistem automotif akan terjejas dengan kadar kegagalan yang tinggi untuk pembeli kereta mendapatkan kelulusan pinjaman bank.
Berikutan itu, Peda menggesa institusi bank melancarkan pelan pinjaman alternatif seperti 'step up financing' yang melayakkan pemohon yang bergaji rendah untuk mendapatkan pinjaman berdasarkan bayaran ansuran bulanan yang akan bertambah setiap tahun.
No comments:
Post a Comment