Friday, May 18, 2012

Malaysia di landasan kukuh capai inflasi tiga peratus

MALAYSIA berada di landasan kukuh untuk mencapai kadar inflasi sederhana antara dua hingga tiga peratus bagi seluruh tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Malaysiadilandasankukuhcapaiinflasitigaperatus/Article
Published: May 18, 2012

Beliau menegaskan, satu-satunya risiko yang boleh melonjakkan kadar itu lebih tinggi ialah peningkatan harga komoditi.

“Jika harga tenaga meningkat secara mendadak seperti yang berlaku pada 2008, maka kita akan melihat harga lebih tinggi. Tetapi jika keadaan itu tidak berlaku, kadar inflasi akan terus sederhana,” katanya dalam satu temubual dengan Bloomberg Television di Istanbul, Turki.

Jika harga tenaga meningkat secara mendadak seperti yang berlaku pada 2008, maka kita akan melihat harga lebih tinggi. Tetapi jika keadaan itu tidak berlaku, kadar inflasi akan terus sederhana. - Dr Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara

Zeti berkata, berdasarkan kepada persekitaran inflasi yang sederhana ketika ini, bank pusat itu tidak melihat keperluan untuk mengubah kadar faedah.

Beliau menjelaskan, penentuan hala tuju kadar faedah adalah bergantung kepada tinjauan inflasi dan pertumbuhan, dan pihaknya menilai perkara itu secara berhati-hati.

“Ketika ini, kami (Malaysia) mempunyai kadar inflasi sederhana. Kami juga mempunyai kadar faedah yang akomodatif dalam erti kata, ia tidak menyekat aktiviti pinjaman dan ia menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai sama ada wujud keperluan untuk menyemak unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini, Zeti berkata buat masa ini unjurannya kekal.

Katanya, unjuran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus tahun itu akan didorong permintaan domestik dan pihaknya sudah mengambil kira pertumbuhan perlahan eksport.

Mengenai terbitan sukuk dalam mata wang asing di Malaysia, Zeti berkata fleksibiliti dalam peraturan pentadbiran pertukaran wang asing ketika ini mendorong penerbitan beberapa sukuk dalam denominasi mata wang yang berbeza-beza.

“Kami mempunyai sukuk yang diterbitkan dalam dolar Singapura dan kami juga mempunyai sukuk dalam renminbi pertama di dunia. Ini adalah satu perkembangan yang sangat menarik,” jelasnya.

Mengenai kemungkinan terbitan sukuk dalam denominasi euro, Zeti berkata ia adalah sesuatu yang akan dilaksanakan pihaknya pada masa depan kerana mata wang itu adalah mata wang rizab antarabangsa yang penting.

Beliau percaya euro akan terus menjadi mata wang rizab antarabangsa yang penting jika ia tidak terjejas dengan krisis hutang Eropah.

Ditanya mengenai kelewatan dalam penubuhan bank Islam mega bagi mengendalikan transaksi antarabangsa secara besar-besaran, Zeti menjelaskan proses mengeluarkan lesen kepada entiti baru adalah lebih lama berbanding proses mengeluarkan lesen kepada institusi asing sedia ada di dunia ini.

No comments: