Thursday, May 2, 2013

Inflasi naik 1.6 peratus

Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan inflasi mencatatkan sedikit peningkatan pada 1.6 peratus pada bulan Mac 2013 dengan kategori pengangkutan naik sebanyak satu peratus disebabkan pelarasan menaik harga petrol RON97 kepada RM2.90 seliter daripada RM2.70 seliter.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Inflasinaik1_6peratus/Article/index_html
Published: May 02, 2013

Harga dalam kategori pakaian dan kasut menurun pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 0.5 peratus disebabkan kenaikan harga selepas jualan Tahun Baru Cina. Walau bagaimanapun, inflasi dalam kategori makanan dan minuman tanpa alkohol kekal tidak berubah pada 3.3 peratus.

Menurutnya, kadar monetari antara bank stabil pada bulan Mac dengan kadar pinjaman runcit, kadar pinjaman asas (BLR) purata bank perdagangan kekal tidak berubah pada 6.53 peratus. Kadar deposit runcit juga secara relatif stabil pada tempoh itu dengan pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat pada kadar yang lebih perlahan pada bulan Mac sebanyak 11 peratus disebabkan pertumbuhan sederhana pinjaman sistem perbankan terkumpul dan terbitan bersih sekuriti hutang swasta.

Meskipun pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana pada bulan itu berikutan pembayaran balik yang besar, pinjaman yang dikeluarkan kepada perniagaan kekal kukuh dengan lebih banyak pinjaman diberikan terutamanya kepada sektor perkilangan; borong dan runcit, restoran dan hotel; kewangan, insurans dan khidmat perniagaan, serta pembinaan. Pinjaman kepada sektor isi rumah juga meningkat pada kadar yang lebih sederhana namun, permintaan pinjaman secara keseluruhan terus kukuh dengan permohonan pinjaman yang lebih tinggi daripada sektor perniagaan dan isi rumah.

Pada bulan Mac, ringgit pada amnya menambah nilai berbanding dengan mata wang rakan perdagangan utama Malaysia. Namun, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.1 peratus berbanding Renminbi China. Kekukuhan ringgit disebabkan pengumuman data ekonomi global dan dalam negeri yang positif, lantas menyumbang kepada sentimen pelabur yang menggalakkan terhadap aset kewangan dalam negeri dan serantau.

Walau bagaimanapun, penambahan nilai ringgit sebahagiannya diimbangi oleh ketidakpastian yang menyelubungi krisis perbankan di Cyprus. Pada bulan April, ringgit terus menambah nilai berbanding dengan mata wang utama rakan perdagangan Malaysia. Rizab antarabangsa BNM berjumlah RM432.1 bilion (USD139.9 bilion) pada 15 April 2013, memadai untuk membiayai 9.9 bulan import tertangguh dan ialah 4.6 kali hutang luar negeri jangka pendek.

No comments: