Monday, May 27, 2013

Ciri-ciri keselamatan duit dipertingkat

Ciri keselamatan yang dipertingkatkan pada wang kertas siri baru yang diedarkan Bank Negara Malaysia tahun lalu membolehkan orang ramai mengenal pasti ketulenannya dengan mudah dan tepat. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Cirikeselamatandipertingkat/Article
Published: May 27, 2013

Ciri keselamatan dipertingkat
Azman menunjukkan wang kertas siri baru yang dikeluarkan 
Bank Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketulenan wang kertas siri baru boleh dikenal pasti dengan mudah

Hanya dengan menyentuh permukaan dan melihatnya dengan berlatarbelakangkan cahaya, membolehkan orang awam mengenal pasti lebih 90 peratus ketulenannya tanpa perlu menggunakan peralatan canggih.

Ciri keselamatan moden

Pengarah Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang Bank Negara, Azman Mat Ali, berkata wang kertas siri baru itu mempunyai ciri keselamatan lebih maju dan moden yang membolehkan orang ramai mengenal pasti ketulenannya tanpa ragu-ragu.

Beliau berkata, terdapat tiga cara bagi orang ramai untuk memastikan ketulenan wang kertas siri baru itu iaitu dengan menyentuh permukaan wang kertas, melihat duit kertas dengan berlatarbelakangkan cahaya putih dan menyendengkannya bagi melihat benang keselamatan yang tertanam didalamnya.

Katanya, antara ciri keselamatan yang lebih canggih dan maju yang terdapat pada wang kertas berkenaan ialah imej bayangan, tetingkap lebih jelas, potret bertanda keselamatan dengan piksel dan angka yang diserlahkan, benang keselamatan berwarna, benang lensa mikro serta tampalan berkilat bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti nilai setiap satunya.

Sukar ditiru

“Semua ciri keselamatan yang ditampilkan itu amat sukar untuk ditiru bagi pencetak wang palsu. Kalau mereka ingin melakukannya juga, adalah tidak berbaloi kerana ia membabitkan kos yang tinggi,” katanya kepada BH dalam satu temubual yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Azman berkata, orang ramai boleh menggunakan kanta pembesar dan cahaya ultra ungu untuk memastikan ketulenan wang kertas yang dimiliki mereka.

Beliau berkata, dengan menggunakan kanta pembesar, orang ramai boleh melihat secara lebih dekat cetakan timbul huruf mikro (BNMRM1, BNMRM5, BNMRM10, BNMRM20, BNMRM50 dan BNMRM100) pada setiap wang kertas.

Katanya, ciri keselamatan terbaru yang ada pada semua denominasi membolehkan orang ramai melihat unsur cahaya pendafluor dua warna dengan menggunakan cahaya ultra-ungu.

Bagi denominasi RM1, orang ramai boleh melihat imej wau bulan dan angka satu dalam warna merah dan kuning, RM5 (imej burung enggang dan angka lima dalam warna merah dan kuning, RM10 (imej bunga Raflesia dan angka 10 dalam warna merah dan kuning), RM20 (imej penyu dan angka 20 dalam warna merah dan kuning, RM50 (imej bio-molekul berwarna merah dan kuning dalam angka 50) dan RM100 (imej Gunung Kinabalu dan angka 100 dalam warna biru dan kuning).

No comments: