Sunday, May 19, 2013

Kewangan Islam Kini Bergerak Ke Arah Pertumpuan, Kata Zeti

KUALA LUMPUR - Kewangan Islam kini lebih bergerak ke arah pertumpuan, dengan isu-isu mengenai pengharmonian interpretasi dan penyelarasan syariah mengenai dasar antarabangsa dan proses tadbir urus dalam kalangan penggiat industri, menjadi topik utama perbincangan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=950493
Published: May 19, 2013

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, dialog dalam kalangan cendekiawan serta kesedaran yang semakin meningkat akan menyumbang ke arah pengharmonian prinsip-prinsip Islam.

"Kini pertumpuan dalam industri kewangan Islam sudah meliputi 80 peratus, dan 20 peratus lagi isu-isu asas masih dibincangkan.

"Usaha itu adalah untuk pertumpuan," katanya pada Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) ke-10 pada panel perbincangan mengenai
'Lessons Drawn: Prospects for the Future.'

Zeti berkata, IFSB yang memberi tumpuan ke atas pembangunan institusi, menjayakan Forum Kestabilan Kewangan Islam bagi membolehkan pembabitan yang lebih mendalam bersama industri untuk berkongsi maklumat dan pengalaman.

"Tahap berikutnya ialah penyelarasan dasar, yang membabitkan proses tadbir urus dan dimensi antarabangsa," katanya.

Zeti berkata di Malaysia, Kewangan Islam berkembang pesat, dengan perbankan Islam meningkat 23 peratus dalam sistem perbankan.

Sementara itu, sidang kemuncak IFSB mengetengahkan mengenai keberkesanan kewangan Islam dalam kalangan golongan miskin berikutan instrumen kewangan Islam yang berasaskan prinsip Perkongsian risiko.

Bagaimanapun perlu ada lebih banyak usaha untuk menyokong kesedaran mengenai manfaat kewangan Islam, katanya.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Latihan Islam (IRTI), Islamic Development Bank Group, Prof. Dr Azmi Omar, berkata satu daripada instrumen itu ialah kewangan mikro Islam.

Penggunaan kewangan mikro Islam masih kurang. Yang kita perlukan ialah menyediakan kemudahan latihan dan pembangunan kapasiti untuk kewangan mikro Islam menyokong perniagaan kecil," katanya. - Bernama

No comments: