Friday, May 17, 2013

Kewangan Islam Diunjur Urus Empat Peratus Ekonomi Dunia

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Industri Kewangan Islam yang berkembang kira-kira 15 peratus setahun, diunjur mengurus empat peratus daripada ekonomi dunia tidak lama lagi.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=950251
Published: May 17, 2013

Gabenor Bank Pusat Qatar yang juga Pengerusi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), Sheikh Abdulla Saoud Al-Thani berkata sejak 10 tahun lepas, Kewangan Islam menyaksikan pertumbuhan berterusan walaupun berhadapan cabaran berikutan krisis kewangan dunia.

"Institusi Kewangan Islam kini sudah beroperasi di lebih daripada 75 negara, memiliki saiz aset kewangan melebihi trilion dolar," katanya pada perasmian Sidang Kemuncak IFSB 2013 ke-10 di sini hari ini.

"Berikutan pelancaran Basel III kini semakin hampir, IFSB bekerja keras menetapkan standard yang konsisten dengan Basel III seperti Draf Pendedahan FIFSB 15 bagi membantu institusi kewangan Islam.

"Cabarannya ialah walaupun semua pembaharuan diwujudkan dan dibangunkan, keutamaan kami ialah melaksanakan standard ini dalam pelbagai bidang kuasa yang semakin melibatkan transaksi merentas sempadan," katanya.

Sheikh Abdulla berkata kos kewangan juga perlu diturunkan.

"Menurut beberapa laporan, kos menerbitkan sukuk boleh 60 peratus lebih tinggi berbanding bon konvensional, yang mungkin mempunyai impak negatif ke atas pertumbuhan pasaran sukuk.

"Ini akan kembali kepada isu penyelarasan dan perbahasan berterusan mengenai jumlah untuk pelarasan itu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung IFSB Jaseem Ahmed berkata kajian dan keputusan IFSB menunjukkan amalan kawalan nasional disokong oleh standard IFSB, mencatat kemajuan ketara dalam mencerminkan ciri-ciri risiko Kewangan Islam.

"Namun, banyak cabaran terus kekal, termasuk menyiapkan sistem pemantauan dan infrastruktur kewangan yang sepenuhnya mencerminkan aspek merentas sektor Kewangan Islam.

"Ia merupakan tambahan kepada keperluan berterusan infrastruktur sistem pengurusan kecairan yang membantu mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko pada tahap institusi kewangan dan mikro ekonomi," katanya.

Presiden Kumpulan Bank Pembangunan Islam Dr Ahmad Mohamed Ali Al-Madani berkata berdasarkan pengajaran yang diperoleh daripada krisis kewangan, terdapat gesaan untuk mewujudkan kerangka baharu bagi membantu meminimumkan kekerapan dan seriusnya krisis seperti ini pada masa depan.

"Industri kewangan Islam berkeupayaan untuk menyediakan rangka kerja yang luas," katanya.

Merit industri perkhidmatan kewangan bagaimanapun tidak sewajarnya dilihat semata-mata mengenai sama ada ia berkeupayaan untuk menyediakan sumbangan bermakna kepada matlamat meminimumkan kekerapan serta seriusnya krisis kewangan," katanya.

Sistem itu perlu lihat pada asas keupayaannya membantu negara membangun mencatat kadar pertumbuhan ekonomi inklusif, yang tidak sahaja tahan kepada peluasan monetari dan penguncupan, malah menyediakan cara terbaik untuk menangani masalah utama seperti kemiskinan dan pengangguran.

-- BERNAMA

No comments: