Friday, May 17, 2013

Zeti: Penyelesaian Kewangan Islam Mesti Pertimbang Harapan Terhadap Kawal Selia

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Inovasi dalam penyelesaian kewangan Islam perlu mengambil kira harapan yang lebih tinggi terhadap pengawalseliaan agar lebih telus, dan memenuhi keperluan bagi pengurusan risiko dan modal yang lebih berkesan.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KawalseliakukuhkewanganIslam/Article
Published: May 17, 2013

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013051700312020130517003120/Article/index_html
Published: May 17, 2013

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130517/ek_03/Penyelesaian-kewangan-Islamik-perlu-inovatif
Published: May 17, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=950277
Published: May 17, 2013


Foto
ZETI memberi ucapan di Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam ke-10 di Kuala Lumpur, semalam.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata ini melibatkan pengukuhan daya tahan sistem kewangan Islam sejajar dengan perkembangan kawal selia antarabangsa yang sentiasa berevolusi, sekali gus menaikkan tahap prestasi industri.

"Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) telah mencapai kemajuan besar dalam menerajui usaha untuk mengkaji langkah-langkah khusus yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Basel bagi kemungkinan menerima pakai kewangan Islam.

Selain itu ialah pentingnya menyemai budaya risiko yang tinggi dalam institusi, katanya dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak IFSB ke-10 di sini hari ini.

"Budaya ini, yang diperkukuh oleh rangka kerja tadbir urus syariah yang mantap, akan memastikan bahawa inovasi bagi meningkatkan pembangunan kewangan Islam digembleng mengikut lunas-lunas syariah, yang akan mencegah kegiatan inovatif keterlaluan yang boleh merosakkan kestabilan kewangan," tegasnya.

Ketika industri beralih ke era baharu pembangunan dalam dunia selepas krisis ini, kata Zeti, landskap kewangan yang kompetitif ini dicorakkan semula oleh reformasi kawal selia antarabangsa yang berevolusi, model-model operasi yang berubah-ubah, harapan pengguna yang semakin tinggi dan persaingan yang semakin sengit.

"Dalam persekitaran yang lebih mencabar ini, kejayaan mengekalkan momentum kewangan Islam sebagai ejen transformasi bagi ekonomi, akan bergantung kepada keupayaan untuk terus meningkatkan tahap dalam mencari kefungsian yang berkesan dan sistem kewangan Islam yang baik," katanya.

Beliau berkata selepas krisis, penekanan yang lebih besar bagi produk terangkum dan mampan serta perilaku korporat yang bertanggungjawab memberikan potensi jelas bagi peserta kewangan Islam untuk mempamerkan kepimpinan dengan memanfaatkan cadangan-cadangan nilai teras pengantaraan kewangan Islam.

"Juga wujud skop untuk meraih manfaat daripada kemajuan teknologi, dan pengaturan institusi yang boleh meningkatkan kecemerlangan operasi, khususnya saluran-saluran pengedaran bagi memperluaskan jangkauan kepada pengguna, dari isi rumah hinggalah kepada perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana," kata Zeti.

Menurut beliau, ekoran krisis kewangan global, terdapat konsensus tentang perlunya diwujudkan semula sistem kewangan yang memenuhi kehendak ekonomi sebenar, dan tuntutan bagi amalan kewangan yang lebih bertanggungjawab daripada sektor kewangan, yang turut merangkumi komitmen untuk mencapai matlamat sosio-ekonomi.

"Berikutan itu, komuniti antarabangsa kini memberikan keutamaan kepada kestabilan kewangan dengan memperkukuhkan pengawalseliaan kewangan.

"Ini termasuklah reformasi kewangan yang bertujuan melindungi pendeposit daripada pengambilan risiko yang berlebihan, pengambilan manfaat yang berlebihan dan inovasi yang tiada batasnya," tegas beliau.

Menurut Zeti, inisiatif reformasi juga memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan mutu modal dan mudah tunai, yang disokong oleh langkah-langkah untuk memperkukuh orientasi kehematan makro peraturan untuk melengkapi penyeliaan kehematan mikro dalam menguruskan risiko yang timbul daripada kesalingbergantungan dalam sistem kewangan.

"Walaupun perubahan-perubahan kawal selia dianggap sebagai usaha kolektif untuk memperkukuh daya tahan sistem kewangan, namun cabaran utama bagi pembuat dasar dan pengawal selia pada masa akan datang ialah juga untuk mencapai pertumbuhan terangkum dan mampan, di samping memastikan kestabilan kewangan," ujar Zeti.

-- BERNAMA

No comments: