Wednesday, April 25, 2012

BNM tidak sekat pembelian kereta

KUALA LUMPUR 23 April - Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan penguatkuasaan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Yang Baik sejak awal tahun ini bukan untuk menyekat pembelian kereta sehingga menjejaskan industri automotif negara.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm
Published: April 25, 2012

Sebaliknya, penguatkuasaan garis panduan itu bertujuan mendidik rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab terhadap kedudukan kewangan mereka.

Penolong Gabenor BNM, Abu Hassan Alshari Yahya (gambar) berkata, sehubungan itu adalah tidak betul mengaitkan pelaksanaan garis panduan tersebut dengan kegagalan pembeli mendapatkan pinjaman membeli kereta.

Menurut beliau, pembeli tidak akan menghadapi masalah seandainya mereka lebih telus dalam mendedahkan pendapatan kasar dan pendapatan tambahan yang diperoleh.

''Bagaimanapun, kebanyakan pembeli tidak mengemukakan butiran lengkap menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan pinjaman, tidak ada kena mengena dengan garis panduan," katanya ketika ditemui di Minggu Saham Amanah Malaysia di sini.

Tegas beliau, garis panduan itu hanya memberi panduan kepada institusi perbankan dan kewangan dalam memberi dan meluluskan permohonan pinjaman.

"Bank akan menggunakan garis panduan tersebut sebagai pertimbangannya sebelum meluluskan pinjaman.

"Sudah tentu mereka yang layak akan mendapat pinjaman dan mereka yang didapati tidak berkemampuan pasti permohonan ditolak," ujar beliau.

Abu Hassan berkata, BNM masih memantau perkembangan tersebut dan yakin institusi perbankan dalam peralihan untuk melaksanakan garis panduan itu dengan lebih baik.

"Salah faham ini akan ditangani apabila orang ramai semakin memahami kebaikan pelaksanaan garis panduan tersebut.

"Kita tahu mereka yang mahu membeli kereta tidak mempunyai masalah untuk membayar deposit tetapi selalunya masalah akan wujud semasa menjelaskan ansuran kerana pada masa yang sama pengguna juga terpaksa membayar cukai jalan, insurans dan menanggung kos penyelenggaraan.

"Apabila masalah ini wujud, ansuran terjejas dan akhirnya kereta terpaksa ditarik. Justeru, garis panduan ini sebenarnya melindungi para pembeli, bukan menyusahkan," menurutnya lagi.

No comments: