Friday, April 20, 2012

Ekonomi Malaysia tumbuh 5 peratus - Zeti

KUALA LUMPUR 19 April - Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini dijangka antara empat peratus hingga lima peratus walaupun situasi ekonomi luar yang mencabar, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm
Published: April 20, 2012

Katanya, pada masa ini, trend pertumbuhan adalah positif dan sekiranya ia dapat dikekalkan, prestasi lebih baik bagi keseluruhan ekonomi boleh dicapai pada tahun ini.

''Ia akan menghampiri paras tertinggi purata jangkaan pertumbuhan (empat peratus hingga lima peratus),'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah biasiswa Kijang Emas BNM 2012, di sini hari ini.

Zeti berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi lebih tinggi Malaysia oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) kepada 4.4 peratus pada tahun ini berbanding 4 empat peratus pada awal tahun lalu.

Bagi tahun 2013, IMF turut menjangkakan ekonomi Malaysia akan tumbuh sebanyak 4.7 peratus.

Selain Malaysia, IMF juga meningkatkan unjuran pertumbuhan bagi Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Sementara itu, Zeti berkata, kadar faedah negara adalah bersesuaian dengan suasana ekonomi semasa.

''Sebarang keputusan berkaitan kadar faedah dibuat berdasarkan keadaan domestik negara.

''Kadar inflasi negara pada masa ini adalah lebih baik apabila menyederhana dan trend tersebut akan berterusan melainkan terdapat sebarang perkembangan yang berlaku.

''Kadar faedah Malaysia adalah bersesuai dengan situasi semasa,'' jelasnya.

Ketika ditanya mengenai gelembung hartanah (property bubble) tempatan, Zeti berkata, pihaknya memantau perkembangan tersebut dan mempunyai penyelesaian bersesuaian bagi menghalang berlakunya situasi tersebut.

Terdahulu, Zeti menghadiri majlis penyerahan biasiswa Kijang Emas BNM yang diberikan kepada lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Lima pelajar bertuah tersebut adalah Turga Ganapathy, Kwong Kien Yi, Wardah Shafiqah Mohammad Fadil, Adnan zikri Jaafar dan Pavithran Maniam.

No comments: