Thursday, April 5, 2012

Malaysia cadang IDB sedia bantuan fiskal

MALAYSIA mencadangkan Islamic Development Bank (IDB) menyediakan bantuan fiskal sementara kepada negara anggota sedang membangun bank itu dalam menangani kejutan sistemik yang disebabkan ketidaktentuan ekonomi global. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MalaysiacadangIDBsediabantuanfiskal/Article
Published: April 05, 2012

Negara anggota sedang membangun berdepan kejutan ekonomi 
samping itu, Malaysia juga mencadangkan supaya mekanisme jaminan kualiti berdaulat pelbagai hala diwujudkan dalam membantu negara anggota IDB untuk berdepan keadaan tidak menentu dalam ekonomi global pada masa depan.

Ini berikutan jurang antara pendapatan dan perbelanjaan umum bagi negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), iaitu peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka, meningkat dengan mencatatkan penguncupan 1.4 peratus pada 2007 kepada penguncupan 16.7 peratus pada 2011.

“Dalam perspektif ini, IDB perlu menimbang untuk memberikan bantuan fiskal sementara yang tepat pada masanya kepada negara sedang membangun dalam tindak balas terhadap kejutan kewangan dan ekonomi global,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada Mesyuarat Tahunan IDB ke-37 di Khartoum, Sudan. Kenyataan beliau dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau turut mencadangkan IDB untuk menjalankan kaji selidik mengenai pembangunan dan arah aliran ekonomi makro di kalangan negara anggota IDB kerana analisis yang dihasilkan itu boleh digunakan sebagai alat pelengkap kepada penilaian secara proaktif keperluan bagi menyediakan bantuan fiskal yang dicadangkan.

Ahmad Husni juga menggesa negara sedang membangun untuk mengukuhkan ekonomi serta asas kewangan masing-masing dalam usaha menangani cabaran luar.
Beliau berkata, adalah penting bagi negara sedang membangun untuk mengurangkan kebergantungan mereka terhadap institusi serantau dan pelbagai hala.

Katanya, pertumbuhan ekonomi yang dinikmati Malaysia ketika ini adalah disebabkan kebolehan negara ini menangani kemelesetan ekonomi baru-baru ini.

“Ini mungkin kerana kami mempunyai asas ekonomi dan kewangan yang kukuh, sekali gus menyediakan kedudukan yang kukuh kepada negara untuk melaksanakan dua pakej rangsangan pada 2008-2009.

“Kedua-dua pakej itu, bersama dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi dan Kawasan Pedalaman meningkatkan aliran pelaburan Malaysia, sekali gus meningkatkan kecekapan negara dan menambah nilai kepada ekonomi negara,” tambahnya.

Ahmad Husni berkata, Malaysia juga bernasib baik dapat mengurangkan defisit fiskalnya daripada tujuh peratus pada 2009 kepada lima peratus pada 2011, dan ia adalah lebih baik jika dibandingkan dengan jurang antara pendapatan dan perbelanjaan umum bagi negara OIC.

Di samping itu, Ahmad Husni turut menyarankan negara anggota OIC mempercepatkan ratifikasi Sistem Perdagangan Keutamaan OIC sejajar dengan usaha untuk meningkatkan aliran pelaburan serta menggalakkan pengembangan perdagangan di kalangan negara anggota.

Beliau berkata, ratifikasi protokol akan mewujudkan penciptaan rantaian bekalan yang lebih besar dan ia bukan saja memanfaatkan negara anggota secara perbandingan, malah dapat menangani ketidakseimbangan ekonomi global.

Katanya, inisiatif penting yang dicadangkan Malaysia itu ialah Pakatan Negara Anggota (MCPS), yang telah dilancarkan pada 2010 dan kini dilaksanakan oleh IDB.

Objektif MCPS adalah untuk mewujudkan rangkaian hubungan antara OIC di bawah beberapa teras utama termasuk pembangunan sektor swasta dan hubungan silang, jelasnya.

No comments: