KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Bank-bank pusat di Asia Timur-Pasifik
merasa optimis mengenai daya tahan ekonomi rantau ini pada Mesyuarat
Eksekutif ke-18 Mesyuarat Gabenor-Gabenor Bank Pusat Asia Timur (EMEAP)
yang baru berakhir, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari
ini.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=959888
Published: Jun 30, 2013
"Dasar makroekonomi yang kukuh dan pembaharuan yang meluas terhadap
sistem kewangan dan peningkatan integrasi serantau memperkukuhkan lagi
trend ini," katanya dalam satu kenyataan.
BNM berkata 11 bank pusat yang menganggotai EMEAP dan pihak berkuasa
monetari mengambil bahagian di dalam mesyuarat itu, yang dipengerusikan
oleh Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Pada mesyuarat itu, yang diadakan Sabtu, para gabenor itu berkongsi
pandangan masing-masing mengenai ketidaktentuan yang masih berlaku di
dalam persekitaran ekonomi global, kata BNM.
BNM berkata mereka akur dengan laporan Mesyuarat Wakil EMEAP ke-44 yang diadakan di Guangzhou, China, pada April 2013.
Ia telah membincangkan kemajuan yang dicapai yang meliputi pelbagai
aktiviti EMEAP, yang termasuk kerjasama dalam bidang pemantauan
perbankan, pasaran kewangan, sistem pembayaran dan penyelesaian serta
teknologi maklumat.
BNM berkata para gabenor berkenaan turut membincangkan mengenai kemas
kini dari Jawatankuasa Monetari dan Kestabilan Kewangan (MFSC) mengenai
aktiviti pemantauan dan penyelidikannya.
Kenyataan itu menyatakan bahawa para gabenor berkenaan juga bersetuju
mengenai aspek penting kerangka pengurusan krisis serantau dengan
memperhaluskannya lagi sebagai usaha memuktamadkannya.
Pada mesyuarat itu, para gabenor itu telah menerima tawaran Bank of
Thailand untuk menjadi hos Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP ke-19 pada
2014.
EMEAP adalah forum kerjasama 11 bank pusat dan pihak berkuasa monetari
di rantau Asia Timur dan Pasifik, yang terdiri daripada Reserve Bank of
Australia, People's Bank of China, Hong Kong Monetary Authority, Bank
Indonesia, Bank of Japan, Bank of Korea, BNM, Reserve Bank of New
Zealand, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore
dan Bank of Thailand.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment