Sunday, June 30, 2013

Wang Secara Meluas Meningkat 9.5 Peratus Pada Mei

KUALA LUMPUR,28 Jun (Bernama) -- Pertumbuhan tahunan wang secara luas atau M3, meningkat kepada 9.5 peratus pada Mei 2013, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=959654
Published: Jun 30, 2013

Bank pusat itu berkata peningkatan M3 pada asas tahunan disebabkan terutama oleh pengeluaran pinjaman bersih kepada sektor swasta, aliran masuk asing bersih dan tuntutan bersih yang lebih tinggi terhadap Kerajaan

"Pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 10 peratus pada Mei disebabkan oleh pertumbuhan yang sederhana bagi pinjaman sistem perbankan terkumpul dan terbitan bersih sekuriti hutang swasta (PDS)," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

BNM berkata pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana pada bulan Mei berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2012, apabila pengeluaran pinjaman kepada perniagaan pada tempoh itu sangat tinggi

Bagaimanapun, pinjaman yang dikeluarkan kepada perniagaan kekal kukuh berbanding bulan-bulan sebelumnya, dengan lebih banyak pinjaman diberikan terutama kepada sektor harta tanah, kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan, pembinaan dan perkilangan.

Bank Pusat berkata Pinjaman terkumpul kepada sektor isi rumah terus meningkat pada kadar yang secara relatifnya stabil, sebanyak 12 peratus.

"Permintaan terhadap pinjaman secara keseluruhannya kekal kukuh dengan permohonan pinjaman yang berterusan daripada sektor perniagaan dan isi rumah," katanya.

Mengenai sistem perbankan, BNM berkata permodalannya terus teguh mengikut Rangka Kerja Kecukupan Modal Basel III dengan Nisbah Modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1, Nisbah Modal Kumpulan 1 dan Nisbah Jumlah Modal masing-masing pada 11.9 peratus, 12.8 peratus dan 14.1 peratus.

"Modal Kumpulan 2 menurun sedikit disebabkan oleh penebusan hutang subordinat oleh sebuah bank.

Paras pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 1.4 peratus daripada pinjaman bersih, manakala perlindungan kerugian pinjaman terus melebihi 90 peratus, katanya.

BNM berkata pada Mei, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang rakan perdagangan utama.

"Ringgit menyusut nilai berbanding renminbi China, euro, dan dolar Amerika Syarikat (AS) namun menambah nilai berbanding yen Jepun dan dolar Singapura," katanya.

Pada Jun, ringgit pada amnya menyusut nilai berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia

Mengenai inflasi Bank Negara berkata seperti yang diukur oleh perubahan peratusan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), ia meningkat kepada 1.8 peratus pada Mei 2013 (April: 1.7 peratus).

-- BERNAMA

No comments: