KUALA KRAI, 14 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mahu lebih
banyak institusi kewangan di negara ini menyertai program perbankan ejen
yang banyak memberi kebaikan, terutama kepada penduduk yang tinggal di
pedalaman dan sukar mendapatkan perkhidmatan bank.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=956213
Published: Jun 16, 2013
Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris BNM Kamari Zaman
Juhari berkata sejak diperkenalkan pada 2010, hanya tiga institusi
kewangan - Maybank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) -
mengambil bahagian dalam menyediakan perbankan ejen.
"Kita mahu menggalakkan lebih banyak lagi bank-bank menyertainya, dan
kini sudah pun ada beberapa institusi kewangan lain yang telah
menyatakan minat masing-masing.
"Beberapa kajian lengkap akan dilakukan terlebih dahulu sebelum
institusi kewangan itu menyertai perbankan ejen, yang mendapat sambutan
sangat menggalakkan daripada penduduk, terutama di pedalaman," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Program BSN Bersama Komuniti di
Kampung Kemubu, Dabong di sini Jumaat.
Turut hadir pada program selama dua hari itu Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Perniagaan Komuniti BSN Azaddin Ngah Tasir.
Kamari Zaman berkata pada akhir April lepas, sebanyak 4,255 ejen
dilantik oleh institusi kewangan yang menyertainya, seperti Pos Malaysia
Berhad, stesen minyak, kedai runcit dan kedai ejen telekomunikasi,
dengan jumlah transaksinya kini melebihi 5 juta orang bernilai lebih
RM760 juta.
"Sejak perbankan ejen ini diperkenalkan, lebih 86 peratus dari jumlah
mukim di Malaysia (721 daripada 837 mukim) kini mempunyai akses kepada
perkhidmatan perbankan asas berbanding hanya 46 peratus pada akhir 2011.
Ini adalah suatu pencapaian yang amat memberangsangkan," katanya.
Beliau berkata Maybank, CIMB dan Public Bank juga menjalin kerjasama
kerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi bagi menyediakan
perkhidmatan MyMobile yang baharu diperkenalkan pada awal tahun ini bagi
pengguna telefon bimbit.
"Sejak diperkenalkan, seramai 103,000 pengguna menggunakan kemudahan MyMobile ini dengan nilai transaksi sebanyak RM4.2 juta.
"Mereka boleh melakukan transaksi perbankan seperti pertanyaan baki,
pemindahan dana, pembayaran bil dan menambah nilai prabayar telefon
menerusi khidmat pesanan ringkas," katanya.
Sementara itu, Azaddin berkata BSN kini mempunyai 4,055 ejen bank
berdaftar (EBB) di seluruh negara yang telah mencatat bilangan transaksi
melebihi 6.5 juta dengan nilai mencecah lebih RM580 juta.
"Perkhidmatan EBB di Kelantan mencatat jumlah transaksi melebihi 400,000
dengan nilai urusan berjumlah lebih RM39 juta. Pada masa ini sejumlah
41 daripada keseluruhan 42 mukim berdaftar di Kelantan mempunyai 311
ejen BSN dan angka ini dijangka meningkat kepada 326 ejen pada
penghujung tahun ini," katanya.
Azaddin berkata perkhidmatan EBB itu merupakan idea dan usaha inovatif
BSN dalam menawarkan kemudahan perbankan kepada pelanggan, terutama di
kawasan pedalaman yang tidak mempunyai perkhidmatan bank.
"Melalui perkhidmatan ini rakyat Malaysia dapat menjimatkan masa untuk
menjalankan urusan perbankan memandangkan ejen EBB BSN beroperasi di
kedai-kedai berdekatan kawasan tempat tinggal seperti kedai runcit,
kedai ejen telekomunikasi dan lain-lain.
"Di samping itu juga waktu operasi BSN lebih fleksibel dan lebih panjang
iaitu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam, dengan setiap transaksi yang
dilakukan adalah secara atas talian dan dalam masa nyata," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment