PONTIAN 15 Jun - Pinjaman perumahan dan kenderaan serta penggunaan kad kredit membuatkan golongan berpendapatan rendah dan penjawat awam negara ini berada dalam nisbah hutang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan bebanan isi rumah.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130616/dn_05/Hutang-isi-rumah-meningkat
Published: Jun 16, 2013
Ahmad Maslan mengisi borang pembukaan akaun Bank Simpanan Nasional
pada Program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan bersama Bank Negara Malaysia
di Benut, Pontian, Johor.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, hutang isi
rumah yang kini mencecah RM800 bilion atau 89.2 peratus daripada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu turut disumbangkan oleh hutang
berpanjangan golongan berpendapatan bawah RM3,000 yang meminjam daripada
institusi bukan bank seperti koperasi.
"Walaupun belum sampai ke tahap kritikal, usaha sedang dilakukan bagi
membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik melalui
kesedaran dan pendidikan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) yang
diusahakan Bank Negara.
"Amalan gaya hidup mewah bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi
negara lain, namun kerajaan melakukan pencegahan sebelum bertambah parah
kerana ramai berbuat demikian walaupun mengetahui kemampuan kewangan
mereka terbatas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program
Kesedaran dan Pendidikan Kewangan, Kaunter Bergerak BNMLINK yang
diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Pontian di Dewan Serbaguna
Benut di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahya dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, trend gaya hidup mewah
membimbangkan kerana ramai sanggup berhutang bagi mendapatkan sesuatu
yang diminati seperti telefon bimbit, beg tangan, pakaian berjenama dan
kenderaan mewah.
"Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah memberikan
khidmat kaunseling kepada 219,995 individu sejak 2007 dengan 89,450 kes
dibawa kepada Program Pengurusan Hutang. Ini menunjukkan mereka boleh
mengawal tetapi terperangkap dengan gaya hidup," katanya.
Dalam perkembangan lain, isu harga rumah yang tinggi akan
dibangkitkan dalam perbincangan Bajet 2014 pada minggu hadapan
melibatkan beberapa perkara seperti kos bahan binaan dan infrastruktur
yang ditanggung oleh pemaju sehingga mendakwa tidak mendapat banyak
keuntungan.
No comments:
Post a Comment