Friday, June 21, 2013

Rangka Kerja Perundangan Baharu Buka Jalan Rangka Kerja Syariah, Kata Zeti

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Rangka kerja perundangan baharu untuk perbankan Islam dan takaful, yang akan berkuat kuasa tahun ini, akan membuka jalan bagi pembangunan rangka kerja kawal selia yang mematuhi Syariah yang menyeluruh bagi menjalankan operasi kewangan Islam, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=957569
Published: Jun 21, 2013

Rangka kerja baharu itu akan menjelaskan keperluan asas Syariah yang mesti dipatuhi untuk perjanjian kontrak antara institusi kewangan dan pelanggan untuk kekal boleh dikuatkuasakan, katanya.

"Rangka kerja ini juga menggariskan keperluan operasi untuk aplikasi prinsip-prinsip Syariah yang berkesan dalam mengendalikan institusi kewangan Islam.

"Ia bertujuan untuk mengukuhkan amalan pengurusan risiko di luar risiko mudah tunai, pasaran dan kredit tradisional untuk turut termasuk risiko inventori, risiko pemilikan dan risiko pematuhan Syariah," kata Zeti pada pembukaan Sidang Kemuncak Pelaburan Islam Brunei Darussalam 2013.

Teks ucapan beliau bertajuk,"Pengawalseliaan dan Tadbir Urus Bagi Kewangan Islam", telah dikeluarkan di sini Khamis.

Beliau berkata perundangan itu juga menyediakan ketetapan institusi-institusi kewangan Islam untuk seiring dengan unsur-unsur tersendiri kontrak yang berkaitan Islam, sekali gus meningkatkan aspek-aspek perundangan dan prosedur untuk penyelesaian teratur bagi institusi kewangan Islam.

Mengenai pembangunan kewangan Islam, Zeti berkata gelombang baharu pengantarabangsaan kewangan Islam memerlukan peningkatan kerjasama di seluruh bidang kuasa untuk mengukuhkan infrastruktur kewangan antarabangsa kewangan Islam.

"Ini untuk memastikan pengantarabangsaan kewangan Islam yang lebih luas berlaku dalam persekitaran kestabilan kewangan," katanya.

Di peringkat negara, Zeti berkata keutamaan pertama berkait dengan trend bagi sistem kewangan Islam domestik akan menjadi lebih bersepadu, membolehkan risiko lebih cepat disebar, di seluruh sistem kewangan.

"Ini memerlukan pembangunan peningkatan rangka kerja pengawalan, penyeliaan dan undang-undang yang juga sesuai dan berkesan untuk gabungan risiko unik dan dinamik inovatif dalam kewangan Islam," katanya.

Zeti berkata peningkatan jangkauan merentas sempadan kewangan Islam juga telah menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama rentas sempadan antara pihak berkuasa penyeliaan.

"Perkongsian maklumat dan penyelarasan yang berkesan dalam kalangan pengawalseliaan akan membolehkan pemahaman yang lengkap keseluruhan spektrum risiko aktiviti pengambilan risiko yang dilaksanakan di seluruh bidang kuasa oleh institusi kewangan Islam," katanya.

Satu lagi bidang penting ialah evolusi kerangka perundangan bagi kewangan Islam untuk meningkatkan keyakinan dan untuk membina keyakinan orang ramai secara keseluruhan, kata Zeti.

"Ini memerlukan satu rangka kerja undang-undang yang menguatkuasakan pematuhan secara menyeluruh Syariah dalam industri perkhidmatan kewangan Islam - melalui peruntukan dan mekanisme yang jelas menentukan pelaksanaan dan tadbir urus institusi kewangan Islam," katanya.

Zeti berkata dengan liberalisasi yang lebih besar, kewangan Islam semakin menyokong aliran pelaburan dan perdagangan serantau dan antarabangsa, pengantara aliran kewangan merentas sempadan yang penting.

"Dengan pengantarabangsaannya, kewangan Islam telah menjadi saluran yang semakin penting bagi pengagihan secara berkesan bagi dana lebihan Asia ke arah pelaburan yang produktif di rantau ini," tambah beliau.

Zeti juga berkata usaha untuk mengukuhkan asas-asas kewangan Islam untuk memastikan ia terus berdaya tahan dalam persekitaran yang lebih mencabar, mesti kekal sebagai satu keutamaan untuk bergerak ke hadapan.

"Malah, komitmen kita untuk bertindak berpandukan berpandangan jauh ini akan mengukuhkan prospek bagi kewangan Islam untuk merealisasikan potensi di rantau ini dan seterusnya," kata Gabenor itu.

-- BERNAMA

No comments: