Sunday, June 16, 2013

Prestasi Labuan FSA lebih baik

PRESTASI Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dijangka meningkat pada 2013 berdasarkan kesinambungan dalam trajektori pertumbuhan dalam keseluruhan sektor perniagaan utamanya.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/prestasi-labuan-fsa-lebih-baik-1.171330
Published: Jun 16, 2013

 Zeti Akhtar Aziz

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata pertumbuhan itu akan disokong oleh perniagaan termasuk aktiviti pajakan, asas, insurans dan kewangan Islam.
  
Beliau berkata pertumbuhan itu akan dilihat dalam semua segmen dalam Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).
  
"Banyak daripada aktiviti-aktiviti ini berkembang berikutan pelbagai aktiviti pelaburan berlaku di rantau Asia, termasuk dalam infrastruktur, penerbangan serta minyak dan gas.
  
"Industri berkenaan mengalami pertumbuhan kukuh dan manfaatnya sekali gus dinikmati oleh Labuan," kata Zeti pada persidangan media di sini mengenai Laporan Tahunan Labuan FSA 2012.
  
Labuan IBFC menempatkan 59 bank, 203 syarikat insurans dan berkaitan insurans, 257 syarikat pajakan dan 37 syarikat amanah.
  
Pada 2012, asas Labuan meningkat 62.5 peratus kepada 65 berbanding 40 sebelumnya.
  
Pada tahun itu, pendaftaran syarikat di IBFC juga mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus atau 779 syarikat, menjadikan jumlah syarikat kepada 9,487 pada Disember 2012.
  
Sehingga hingga 31 Mei, 2013, bilangannya meningkat kepada 9811, selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan di Asia, dengan lebih daripada 50 peratus syarikat Labuan berasal dari rantau ini.
  
"Labuan, yang terletak di tengah-tengah Asia, berada pada kedudukan yang strategik untuk memain peranan sebagai gerbang untuk aktiviti pelaburan canggih di rantau ini.
  
"Pada 2012, syarikat yang diperbadankan di Labuan kini boleh membuat penyenaraian di Bursa Saham Hong Kong untuk memanfaatkan peluang yang semakin meningkat di Asia," kata Zeti.
  
Nisbah pinjaman tidak berbayar kasar bank-bank Labuan bertambah baik kepada 1.3 peratus pada 2012 berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya.
  
Nisbah modal berwajaran risiko purata industri dan nisbah modal teras masing-masing mencatatkan 20.6 peratus dan 20.5 peratus.
  
Secara keseluruhannya, asas aset sektor perbankan meningkat kepada US$42.1 bilion berbanding US$38.3 bilion pada 2011.
  
Sejajar itu, pinjaman dan pendahuluan terus berkembang pada tahun ini dengan bukan pemastautin mendominasi majoriti 60.6 peratus daripada jumlah baki pinjaman.
  
Sektor perbankan Labuan juga mencatatkan peningkatan 41.2 peratus dalam keuntungan sebelum cukai bagi 2012
  
Jumlah aset bagi entiti insurans Labuan melonjak 16 peratus kepada US$4.2 bilion dan jumlah premium kasar meningkat kepada US$ 1.7 bilion, dengan bahagian perniagaan bukan pemastautin lebih tinggi sebanyak 53.9 peratus.
  
Pada 2012, kedua-dua syarikat insurans semula memindahkan cawangan masing-masing ke Labuan IBFC dari Eropah untuk memfokuskan perniagaan mereka di rantau Asia dan Oceania.
  
Perniagaan pemajakan Labuan menyaksikan 41 syarikat pemajakan baharu diluluskan.
  
Permintaan yang terus meningkat bagi kemudahan pajakan, terutama dalam sektor minyak dan gas dan penerbangan, menyumbang kepada peningkatan aset pajakan terkumpul sebanyak US$32.4 bilion berbanding US$27.6 bilion sebelumnya. - Bernama

No comments: