Sunday, June 16, 2013

Zeti Gesa Semua Negara Bersedia Hadapi Pengenduran Program Rangsangan As

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Semua negara perlu mempersiapkan diri untuk menyerap keadaan turun naik yang tercetus ekoran pengenduran program suntikan mudah tunai Amerika Syarikat (AS )dengan lebih baik, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130614/ek_04/Zeti-gesa-sedia-hadapi-pengenduran-rangsangan-AS
Published: Jun 16, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=956127
Published: Jun 16, 2013

Beliau berkata pasaran kewangan akan bertumpu ke arah keadaan yang lebih stabil apabila ekonomi pulih.

"Sebarang keadaan tidak menentu begini dijangkakan sementara sahaja," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Pasaran menjadi berhati-hati dalam minggu-minggu kebelakangan ini disebabkan oleh spekulasi berterusan tentang ura-ura Rizab Persekutuan AS menarik balik program rangsangannya itu.

"Pengenduran ini berlaku kerana ekonomi semakin pulih. Sudah diketahui bahawa ini akhirnya akan berlaku juga satu hari nanti.

"Malah, dasar pengenduran monetari dengan menurunkan kadar terlalu rendah bagi jangka masa terlalu panjang turut mempunyai risiko-risiko lain.

"Apa yang terjadi ialah, ini harus dilakukan dengan cara yang amat teratur dan inilah yang mahukan, iaitu ia berlaku secara teratur tanpa terlalu mengganggu pasaran kewangan antarabangsa," kata Zeti.

Mengenai kebimbangan tentang imbangan perdagangan yang sempit dan lebihan akaun semasa, Zeti berkata ekonomi-ekonomi semasa, termasuk AS dan Jepun, kini mula stabil, pertumbuhan eksport dijangka pulih.

"Bagaimanapun, apa yang penting disedari ialah sejak bertahun-tahun lamanya kita mengalami lebihan yang sangat ketara.

"Kita telah berjaya membina rizab kita yang kini berada pada kedudukan yang sangat kukuh, bersamaan lebih US$140 bilion dan ini penting dalam menyokong kedudukan luar negara kita," tegas beliau.

Zeti berkata negara akan meraih faedah daripada iklim pelaburan dan kos menjalankan perniagaan yang lebih baik, dan Malaysia terus menerima pengaliran masuk pelaburan langsung asing.

"Ini adalah pengaliran masuk jangka panjang yang boleh menampung pembiayaan jika kita mengalami defisit akaun semasa. Jadi, ia sesuatu yang membimbangkan," katanya.

Mengenai keadaan turun naik mata wang, Zeti berkata peserta pasaran kewangan perlu bersiap sedia untuk menyerap keadaan turun naik ini dalam persekitaran semasa.

"Mandat kita ialah mengekalkan keadaan pasaran pertukaran asing yang teratur. Walaupun kita menyaksikan penyusutan tetapi dalam jangka sederhana, apa yang penting ialah ia mencerminkan asas dasaran kita yang kekal positif," tegas Zeti.

-- BERNAMA

No comments: