Sunday, June 16, 2013

Sedia hadapi ketidaktentuan ekonomi - Zeti

KUALA LUMPUR 14 Jun - Setiap negara perlu bersedia untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran setelah Amerika Syarikat (AS) dikatakan berhasrat untuk mengurangkan pakej rangsangan ekonominya.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130615/ek_02/Sedia-hadapi-ketidaktentuan-ekonomi----Zeti
Published: Jun 16, 2013

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bagaimanapun berkata, sebarang ketidaktentuan dijangka hanya berlaku sementara sahaja.

"Pengurangan pakej rangsangan terjadi kerana ekonomi sudah pulih, ia akan berlaku juga suatu hari nanti, cuma ia perlu ditangani dengan baik bagi mengelakkan berlakunya kekacauan terhadap pasaran kewangan," katanya semasa sidang akhbar selepas membentangkan Laporan Tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan 2012, di sini hari ini.

Pasaran menjadi tidak menentu beberapa minggu lalu apabila terdapat spekulasi yang mengatakan Rizab Persekutuan AS akan menghentikan program rangsangan ekonominya.

Mengulas mengenai imbangan perdagangan yang semakin mengecil, Zeti berkata, ia bukan satu perkara yang perlu dibimbangkan kerana beberapa negara eksport utama seperti AS dan Jepun telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Tambahnya, Malaysia juga mempunyai rizab antarabangsa yang tinggi iaitu AS$140 bilion yang mana ia penting bagi menyokong kedudukan luar negara Malaysia.

"Eksport menguncup selama empat bulan berturut-turut kerana kelembapan ekonomi global, manakala kerancakan aktiviti pelaburan domestik pula telah meningkatkan import, ini menyebabkan berlakunya penyusutan lebihan dagangan.

"Apa yang penting adalah negara-negara utama seperti AS dan Jepun telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan apabila mereka semakin stabil, pertumbuhan eksport Malaysia juga akan kembali pulih," jelasnya.

Lebihan dagangan Malaysia merekodkan paras terendah dalam tempoh 15 tahun pada April lalu.
Manakala kelembapan eksport pula telah memberi tekanan kepada ringgit sehingga menyebabkan mata wang negara itu susut hampir satu peratus berbanding dolar Amerika minggu ini.

No comments: