KUALA LUMPUR 17 Mei - Bukan Islam di negara ini telah memilih sistem kewangan Islam kerana yakin terhadap produk yang ditawarkan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130518/ek_01/Kewangan-berlandas-syariah--jadi-pilihan
Published: May 19, 2013
Zeti Akhtar Aziz
Katanya, setakat ini, antara 50 peratus sehingga 70 peratus pelanggan perbankan Islam adalah di kalangan bukan Islam.
"Ini menunjukkan betapa produk kewangan Islam mempunyai potensi di negara ini dan juga di peringkat antarabangsa.
"Bukan Islam hanya melihat sama ada produk yang ditawarkan itu sangat kompetitif atau tidak. Di Malaysia, mana-mana perbankan pelaburan yang menerbitkan sukuk turut menjadi pilihan di kalangan pelanggan bukan Islam,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan forum bertajuk 'Perbincangan panel terhadap pelajaran yang diambil: Prospek masa hadapan' pada hari terakhir sidang kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) di sini hari ini.
Para panel terdiri daripada Gabenor Bank Pusat Emiriah Arab Bersatu, Sultan bin Nasser Al Suwaidi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa, Prof. Rifaat Ahmed Abdel Karim serta bekas Gabenor Bank Kerajaan Pakistan, Ishrat Husain.
IFSB berlangsung selama dua hari bermula semalam dengan penyertaan lebih 200 delegasi dari seluruh dunia.
Tambah Zeti, sistem kewangan Islam perlu diharmonikan di peringkat antarabangsa supaya dapat diterima oleh setiap lapisan masyarakat dunia.
Katanya, adalah amat penting untuk mempunyai dasar koordinasi di antara negara-negara yang memperkenalkan sistem kewangan Islam pada masa hadapan.
"Sistem kewangan Islam perlu diharmonikan di peringkat antarabangsa bagi mewujudkan satu standard yang boleh digunapakai oleh setiap negara.
"Malah, kesedaran oleh pengawal selia regulator dan dari pihak industri sendiri amat penting terhadap sistem kewangan Islam ini. Kini, saya dapati terdapat ruang untuk berkembang,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment