Sunday, May 12, 2013

Firma Penyelidikan Jangka Bank Negara Kekalkan OPR Pada 3.0 Peratus

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama)-- RHB Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga akhir tahun, selepas menaikkannya ke paras semasa pada Mei 2011.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=948750
Published: May 12, 2013

Jawatankuasa Dasar Monetari BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus semalam. Ia merupakan mesyuarat ke-12 berturut-turut bank pusat itu mengekalkan kadar OPR yang sama.

Dalam notanya hari ini, RHB Research yang menyetujui penilaian BNM itu berkata risiko OPR bagaimanapun kini ke arah meningkat, jika pemulihan ekonomi dunia lebih kukuh daripada yang dijangkakan.

"Walaupun inflasi diunjurkan meningkat tahun ini, ia dijangka boleh diurus dan tidak akan menimbulkan ancaman besar ke atas ekonomi.

"Kadaan ini serta risiko aliran menurun akibat persekitaran ekonomi luar yang mencabar menunjukkan BNM dijangka dapat menerima kadar inflasi yang tinggi sedikit," katanya.

RHB Research berkata inflasi diunjur meningkat kepada sekitar 2.5 peratus tahun ini berbanding 1.6 peratus pada 2012.

"BNM, sebaliknya mengunjurkan inflasi meningkat sekitar 2.0-3.0 tahun ini," katanya.

Dalam nota berasingan, Kenanga Research berkata ia yakin OPR menyokong ekonomi dan terus yakin terhadap kestabilan pasaran.

Untuk masa depan, firma penyelidikan itu berkata ia yakin OPR akan kekal pada paras semasa sepanjang tahun ini.

Ia berkata setelah pilihan raya berlalu, perkara lain akan kembali meningkat dengan cepat dan meningkat untuk tempoh berbaki tahun ini.

Sementara itu Alliance Research berkata keputusan BNM mengekalkan kadar OPR itu adalah selari dengan jangkaan firma itu dan pasaran.

"Rasionalisasi subsidi mungkin dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi mengurangkan beban rakyat. Oleh itu kami menjangkakan kadar OPR kekal sehingga akhir tahun," katanya.

-- BERNAMA

No comments: